Pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam memberi kebenaran buat isteri, Datin Patimah Ismail untuk menjadi pencelah dan saksi dalam kes injuksi terhadap isteri kedua anaknya, Ira Kazar yang didakwa telah melanggar perintah mahkamah.
Kata Yusof, dia yakin isterinya mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian kerana dia paling dekat dan memerhatikan sendiri apa yang berlaku dalam rumah tangga Syamsul Yusof dan isterinya, Puteri Sarah Liyana.
Saya akur dengan kehendaknya kerana dia lebih tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga Sarah dan Syamsul, tambahan pula dia yang berada di rumah sepanjang tempoh itu.
Ujarnya lagi, dia dan isteri tidak menyebelahi sesiapa dalam isu berbangkit antara anaknya dan menantu.
Kami bukan mahu menyebelahi sesiapa tetapi andai anak kami terkhilaf, tentu kami berpihak kepada yang benar. Salah tetap salah, sekali pun darah daging sendiri.
Sebelum ini, Syamsul Yusof telah mengambil keputusan untuk menjadi pencelah dalam petisyen perintah injuksi antara Puteri Sarah Liyana dan isteri keduanya, Ira Kazar.
Manakala ketika ditanyakan mengenai dakwaan Syamsul pernah memukul Puteri Sarah, Yusof hanya menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tujuan siasatan.
Dua-dua saya sayang, itu anak, ini menantu. Cuma doa yang mampu saya bersama isteri tadahkan semoga semua ini berakhir dengan baik. Percayalah tiada ibu bapa yang mahu melihat rumah tangga anak-anaknya berantakan.
Terdahulu, Datin Fatimah telah mencuri perhatian ramai apabila dia ada memberi pesanan kepada Syamsul Yusof di Instagram Story miliknya.
“Hidupmu hampir hancur! Pulanglah ke pangkal jalan. Sudah jauh tersesat. Pintu kami sentiasa terbuka untuk mu. Allah juga Maha Pengampun.” tulis ibu Syamsul.