Makmun 2 merupakan sekuel dari filem seram terlaris iaitu Makmum dan filem kedua ini di bawah arahan Guntur Soeharjanto dimana jalan cerita kali ini lebih kepada membahas kehidupan Rini yang kembali dilakonkan oleh Titi Kamal.
Selain Titi Kamal, barisan pelakon yang turut membintangi filem seram ini adalah Samuel Rizal, Marcella Zalianty, Encek Bagus, Dea Panendra dan banyak lagi.
Ditayangkan pada 30 Disember yang lalu, filem seram dari Indonesia ini mendapat sambutan yang agak memuaskan dari dalam negara serta luar.
Filem ini dimulakan dengan Rini yang masih teringat akan permegian suaminya sekitar 3 tahun lalu dan ketika sedang solat bagi menenangkan perasaannya, tiba-tiba dia mendapat panggilan dari salah seorang penduduk kampungnya bahawa Bude Yanti iaitu penjaganya telah meninggal dunia dan khabar berita itu membuatkan dirinya bertambah sedih.
Rini membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan memilih untuk tinggal di sana untuk beberapa hari bagi melakukan serangkaian doa di hari ke-7 akan tetapi dia kembali dihantui oleh hantu Khazab, yang mengikutinya ketika solat.
Filem yang berdurasi kurang dari 90 minit ini memiliki banyak cerita dalam satu masa, malah dibiarkan tergantung begitu saja. Disebabkan tiada adegan flashback, membuatkan ia bertambah confused sehingga banyak hal dilihat tidak diselesaikan.
Kisah tergantung bukan hanya satu sahaja, tetapi berulang banyak kali dan ianya membuatkan penulis berasa agak terganggu serta tertanya-tanya “siapa dia”, “maksud dia apa”.
Dalam pada banyak adegan tergantung, hal yang membuat penulis berasa tidak berapa best bila terlalu banyak jumpscare di dalam filem ini. Adegan jumpscare ini boleh dikatakan pada setiap masa ada, siang mahupun malam.
Penulis faham adegan jumpscare sememang perkara utama jika membuat filem seram, tetapi di dalam filem ini, babak tersebut terlalu klasik dan boleh diagak lebih awal.
Selain itu, dengan jalan cerita yang biasa-biasa saja, penulis rasakan pengakhiran filem ini agak sedikit ‘kecoh’. Penyelesaian masalah mengambil terlalu banyak masa sehingga membuat klimaks cerita ini bertindih sedangkan penonton yang menonton rasanya dah boleh agak pengakhiran cerita ini ke arah mana.
Biarpun penulis merasakan banyak kekurangan, dalam pada masa yang sama filem ini dapat memberi peringatan besar dalam kehidupan sebagai seorang muslim, bahawa solat merupakan tiang agama buat kita makanya pelaksanan perkara itu perlu dilakukan secara khusyuk dan sememangnya fokus.