Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Aliff Syukri meluahkan rasa sedih apabila melihatkan resort yang dibinanya hampir musnah dilanda banjir.
Dia yang kini berada di Istanbul, Turki untuk bercuti bersama keluarga memaklumkan bahawa Sugeh Hill Exclusive Eco Resort yang terletak di Janda Baik, Pahang telah terjejas dan mengakibatkan peralatan dan landskap pusat peranginan itu telah hanyut dibawa arus sungai yang melimpah.
Saya juga alami benda yang sama. Resort saya hampir musnah kerana banjir. Tidak pernah saya menjangkakan seteruk ini.
Jalan sudah tidak boleh dilalui, landskap semua habis rosak. Saya tidak dapat membayangkan apa anda semua lalui. Saya bersimpati dan mendoakan agar semuanya dipermudahkan.
Aliff juga memberitahu dia akan turun membantu mangsa banjir sekembalinya dia ke tanah air nanti.
Dalam hantaran lain, isteri Aliff Syukri, Datin Nur Shahida tampil meluahkan rasa syukur mengenangkan pelanggan resort yang berada dalam keadaan baik dan selamat.
Terdahulu, hujung minggu di negeri Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan pantai Timur hebat dilanda banjir kilat sehingga telah menenggelamkan beberapa kawasan.
Sehingga ke hari ini, usaha menyelamat sedang giat dijalankan rakyat dan kerajaan bagi membantu golongan terjejas akibat tragedi itu.