Penyanyi dan juga pelakon, Shalma Eliana mengakui dirinya ada didekati beberapa lelaki semenjak dia dan penyanyi Ismail Izzani mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan percintaan yang terjalin antara mereka pada bulan lalu.
Shalma walau bagaimanapun memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai masa untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta dan hanya mahu fokus pada diri sendiri.
Jelasnya lagi, dia kini selesa dengan keadaan sekarang dan ingin menumpukan perhatian pada soal karier dan kerjaya yang semakin meningkat naik.
Jujurnya, ada saja yang DM menyatakan hasrat ingin berkenalan. Tetapi, saya anggap ia sebagai hubungan biasa-biasa sahaja. Saya selesa dan gembira begini (hidup solo).
Kata Shalma yang lebih mesra disapa sebagai Yana ini, hubungannya bersama bekas kekasih, Ismail berada dalam keadaan baik dan dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap penyanyi itu.
Perkembangan lain, Shalma kini muncul dengan single terbaru berjudul Your Loss dan baru sahaja melancarkan lagu tersebut secara rasmi di Ibu Kota, semalam.
Terdahulu, Ismail Izzani mengumumkan bahawa hubungan cintanya bersama Shalma telah berakhir sekitar awal November yang lalu.
Ujar Ismail, mereka berdua kini sudah membawa haluan hidup sendiri dan memilih untuk fokus dalam bidang seni masing-masing.