Che Ta sedar keretanya itu hilang ketika beliau hendak keluar dari rumah atas urusan kerja. Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek mengumpil pagar kawasan kondominium tempat tinggalnya dan mencuri kereta beliau sebelum merempuh palang pondok pengawal.
Berbicara mengenai perkara berkenaan, Che Ta berkata setakat ini pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan secara jujur beliau rasa harapan untuk mendapatkan kenderaan tersebut agak tipis.
Apa yang membuatkan beliau terkilan ialah kereta beliau hilang dalam kawasan perumahan. Che Ta menyifatkan pengurusan tempat tinggalnya itu tidak boleh diharap kerana keselamatan penghuni tidak terjamin.
Saya tak tahulah, tapi peluang untuk kereta itu ditemui semula macam tipis saja. Sebelum ini saya dengar orang yang kehilangan kereta, jarang yang berjaya dapatkannya semula.
Pengurusan kondominium di kediaman saya tu memang tidak boleh diharap dan saya anggap mereka seperti ‘sampah’. Saya bayar bil perkhidmatan setiap bulan tetapi keselamatan penghuni tetap tidak terjamin.
Pada masa yang sama, Che Ta akui beliau ada niat untuk membeli kereta baru tetapi ia masih dalam perancangan.
Bukan sedikit duit yang perlu dikeluarkan untuk membeli kereta yang baru. Namun, saya tetap kena beli kereta yang besar juga untuk kemudahan ke tempat kerja.
Buat masa ini, saya belum putuskan untuk membeli kereta jenama apa kerana keselamatan belum tentu terjamin kalau pakai kereta yang mahal sekalipun.
Buat Che Ta, kejadian yang berlaku kepada dirinya itu memberikan pengajaran untuk beliau lebih berhati-hati di masa hadapan.