Seorang pelancong warga Bangladesh yang maut dalam nahas melibatkan pemandu mabuk di Lebuhraya MEX semalam dikenali sebagai pencipta kandungan permainan popular di negaranya, Advance Gaming.
Mangsa, Muzahid Millad, 22, disahkan meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaikinya bersama isteri dirempuh ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, dilaporkan cedera dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan, pasangan berasal dari Habiganj, Bangladesh itu baru sahaja tiba di Malaysia untuk bercuti selama seminggu di ibu negara sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.
Pemergian Muzahid mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan komuniti permainan dalam talian di Bangladesh. Di media sosial, tanda pagar seperti #JusticeForMuzahid, #JusticeForAdvanceGaming dan #BangladeshDemandsJustice mula tular apabila ramai menuntut tindakan tegas terhadap pelaku.
Satu kenyataan dalam bahasa Bengali yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, Advance Gaming, yang memiliki lebih 777,000 pengikut, turut mengesahkan pemergiannya dan memohon orang ramai mendoakan beliau.
Terdahulu, pihak polis menahan seorang pegawai tentera berusia 31 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan maut tersebut. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, bapa saudara Nafisa, Mohibul Hassan, 50, turut menuntut keadilan dan mempersoalkan bagaimana pemandu mabuk boleh berada di jalan raya, sambil berharap undang-undang Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
