Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Menurut Berita Harian, pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit ini juga adalah lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada 2023 dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, agihan dividen tersebut merupakan yang paling tinggi sepanjang tempoh lima tahun.
Tambahnya, jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 ini adalah sebanyak RM10.1 bilion dan akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.
Untuk maklumat semua, transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024.
Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.