Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, awal pagi semalam tampil memohon maaf kepada kesemua keluarga mangsa dan pelajar yang terlibat.
Saya minta maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam, brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba.
Brek tak berfungsi
Menerusi laporan Berita Harian, pemandu bas iaitu Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, berkata, bas yang dalam perjalanan dari Terengganu itu awalnya berkeadaan baik sehingga tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik.
Secara tiba-tiba, saya dapati brek bas tidak berfungsi dan angin bas juga kosong.
Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
Katanya, dia sudah cuba untuk mengelak supaya tidak merempuh empat kenderaan lain dan sebuah lori.
Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcam. Ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tak jadi lebih teruk.
Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.
Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa.
Kata Mohd Amirul lagi, dia menjerit kepada para pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik dia menyedari brek bas itu tidak berfungsi.
Mereka yang duduk di kerusi depan mungkin dengar arahan saya tetapi yang berada di belakang kebanyakannya tidur dan menyangka saya sedang marah.
Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan sebagai pemandu bas, saya cuba mengelak kemalangan.
Nafi pandu bas laju
Pemandu bas itu menegaskan bahawa dia tidak memandu dengan laju seperti yang didakwa oleh orang ramai kerana dia arif dengan laluan tersebut, lebih-lebih lagi lokasi kejadian menuruni bukit.
Difahamkan, nahas tersebut menyebabkan dia pengsan seketika sebelum sedar dan menjerit meminta pelajar keluar menerusi cermin hadapan bas yang pecah.
Saya merangkak keluar dan menangis melihat keadaan semua pelajar. Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.
Ini pertama kali saya terbabit dalam kemalangan mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.
Saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan serahkan kepada pihak polis.