Pelantikan akauntan muda, Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu didakwa tidak sah dan bercanggah dengan aturan adat Sungei Ujong.
Menerusi kenyataan media Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong lewat petang tadi, mereka memaklumkan bahawa pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan ibu-ibu soko waris Klana Hilir, seperti memetik Harian Metro.
Sumber : Muhammad Faris Selain itu, pelantikan tersebut juga didakwa perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada kesemua Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong, manakala pengisytiharan mestilah dibuat oleh Datuk Shahbandar Sungei Ujong.
“Justeru, dalam isu pelantikan Muhammad Faris, tiada langsung persetujuan sebulat suara dari ibu-ibu soko waris Klana Hulu, waris Klana Hilir dan tiada langsung persetujuan dari Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah di dalam Luak Sungei Ujong,” katanya.
Kenyataan itu turut mendakwa penama Shaharumzaman Abdul Malek, yang disebut sebagai Orang Kaya Datuk Laksamana, telah dipecat pada 20 Mac 2026. Surat pemecatan tersebut didakwa telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 30 Mac 2026.
Menurut kenyataan itu, penama berkenaan tidak lagi mempunyai sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di Luak Sungei Ujong, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk melantik Undang Luak Sungei Ujong.
Malah, kenyataan sama turut mendakwa nama Zainol Ariffin Ibrahim sebagai Datuk Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat, yang mengesahkan pelantikan tersebut, juga telah dipecat pada 28 November 2024. Surat pengesahan pemecatan itu didakwa telah dikeluarkan oleh Pejabat DKU pada 2 Disember 2024.
Akauntan Usia 29 Tahun Dilantik Sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong Ke-11
Justeru, Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong menegaskan bahawa Datuk Andulika Mandulika Sungei Ujong yang sah ialah Sazali Mohamed Yasin, yang dilantik pada 1 April 2025. Surat pengesahan pelantikannya juga didakwa telah dikeluarkan oleh Pejabat DKU bertarikh 11 April 2025.
“Kami menegaskan sekali lagi, adalah dengan ini kami Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong melafazkan taat setia sepenuhnya kepada Datuk Klana Petra Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah hingga kini.
Terdahulu, media melaporkan akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari dilantik sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11.
Pelantikan itu dilaporkan dibuat mengikut istiadat kerapatan di Telaga Undang dan dipilih secara bulat muafakat oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-waris Klana Hulu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
