Tindakan berbahaya memandu bas sambil melakukan aksi tidak senonoh akhirnya membawa padah apabila seorang bekas pemandu bas dan kekasihnya dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Pemandu Bas Riba Wanita Ketika Memandu Dipecat Serta-Merta, Sri Maju Group Mohon Maaf
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara yang berbahaya kepada orang awam. Kejadian itu berlaku sekitar pukul 7.30 petang di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 12 April 2026.
Bagi kesalahan tersebut, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding sama, Nur Adila turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun di dalam bas sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM5,000 terhadap Arif, manakala Nur Adila dipenjara enam bulan dan turut didenda RM5,000. Jika gagal membayar denda, kedua-duanya boleh dikenakan tambahan dua bulan penjara, seperti laporan KOSMO ONLINE.
Selain itu, lesen memandu mereka turut digantung selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan. Nur Adila juga dikenakan denda tambahan RM100 atau 14 hari penjara jika gagal bayar bagi kesalahan menghina penumpang.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan kehilangan pekerjaan dan ingin meneruskan pengajian. Namun pihak pendakwaan menegaskan tindakan mereka yang mempertaruhkan keselamatan 27 penumpang adalah serius dan tidak boleh dikompromi.
Mahkamah mengambil kira semua hujah sebelum menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan yang dilakukan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
