Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa para guru dan petugas Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk kembali berpolitik, seperti laporan Sinar Harian.
Ujar Ismail Sabri lagi, arahan itu berkuatkuasa dengan serta-merta di mana sebelum ini wujud pekeliling yang menyekat guru dari berpolitik dan ramai pendidik telah diberikan amaran dan diambil tindakan.
Keputusan diambil bagi menghormati semangat demokrasi dalam perlembagaan Malaysia.
Saya telah pun bawa isu ini ke kabinet dan kabinet memutuskan kita beri kebenaran kepada guru berpolitik bagi menghormati semangat demokrasi.
Jika pekeliling masih belum dikeluarkan, saya berharap Kementerian Pendidikan bertindak segera mengeluarkannya supaya tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kebenaran berpolitik itu turut diberikan kepada petugas KEMAS yang sebelum ini turut disekat kebebasan yang sama.
Namun, ujar Ismail Sabri, jika mereka (guru dan petugas KEMAS) ini berpolitik sehingga mengabaikan tugas hakiki, jabatan masing-masing berhak mengambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, para pendidik dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun semasa pentadbiran kerajaan yang diperintah Pakatan Harapan, mereka tidak lagi dibenarkan berbuat demikian.