Tindakan jutawan kosmetik terkenal, Dato Seri Vida yang sebelum ini didakwa sentiasa ‘menempel’ di setiap isu semasa kerana inginkan publisiti nampaknya turut mengganggu kehidupan anak perempuannya, Cik B.
Terbaru, DS Vida kembali menuai kecaman netizen apabila dia dikatakan menuduh penyanyi terkenal Anuar Zain sebagai seorang yang tidak meminati kaum wanita. Setelah dikecam hebat, Vida kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi lagu Sedetik Lebih itu malah turut menawarkan sebuah ‘projek besar’ namun tidak pula menerangkan secara lebih lanjut.
Meninjau ke ruangan komen hantaran permohonan maaf itu, ramai netizen tampil memberi kritikan dan juga nasihat kepada Vida.
Namun, bukan sahaja Vida malah anak perempuannya turut menerima tempias isu kontroversi tersebut apabila dia dikutuk oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.
Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin telah dikritik cara penampilan serta pemakaiannya dan disuruh untuk berpakaian lebih muslimah dan menutup aurat.
Malah, ada juga sesetengah netizen yang menyuruh Cik B agar menasihati ibunya itu supaya lebih berhati-hati dalam bercakap dan tidak lagi meraih perhatian dengan mencetuskan sebarang publisiti murahan.
Kasihan Cik B, harap-harap pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu tidak murung atau alami tekanan perasaan pula nanti.