Akibat membuka pelitup muka walaupun hanya beberapa saat bagi merasa sos buatannya sendiri, penjaja nasi itik di Pasar Geylang Bahru, Singapura dikenakan kompaun oleh penguatkuasa yang bertugas.
Mengambil petikan dari Siakap Keli, penjaja yang dikenali sebagai Wang itu sedang memotong daging itik di belakang kaunter dan isterinya pula sedang melayan para pelanggan yang sedang beratur.
Kerana terlalu ramai pelanggan ketika itu, Wang ingin mengisi semula sos baharu setelah melihat baki sos sebelum ini sudah berkurangan dan sebelum menyajikan kepada pelanggan, dia mengambil keputusan membuka pelitup muka untuk beberapa saat bagi merasa sos tersebut.
Dalam pada masa yang sama, dua orang penguatkuasa mendekati Wang, selepas itu meminta dokumen pengenalan dirinya, diikuti dengan tiga penguatkuasa lain dan oleh kerana ramai pelanggan yang sedang menunggu, dia ikuti saja arahan yang diberi serta berniat akan menjelaskan sebabnya kemudian.
Kemudian harinya, Wang menghubungi pihak berkuasa agar dilepaskan namun gagal. Sangkaan beliau hanya diberi amaran, tetapi sebaliknya dia dikenakan kompaun sebanyak $300 (kira-kira RM928).
Peniaga yang sudah berniaga hampir 30 tahun itu merasakan tindakan yang diambil agak keterlaluan kerana baginya ruang kerja di gerai beliau itu bukanlah tempat umum.