Semalam, sebuah video telah menjadi tular di media sosial Facebook berikutan tindakan seorang lelaki telah memecahkan cermin kenderaan yang dinaiki isterinya dan dua anak sehingga mencetuskan amarah dalam kalangan netizen yang melihatnya.
Aksi melampau itu telah dirakam oleh seorang wanita dikenali sebagai Amira yang juga pemandu kereta tersebut.
Amira kemudian membuat hantaran di media sosial Facebooknya mengenai apa sebenarnya yang telah terjadi.
Dalam video tersebut, lelaki itu meluru ke kenderaan Amira konon-kononnya ingin memberi wang kepada anak mereka.
Wanita itu kemudian membuka sedikit ruang tingkap sebelum lelaki itu bertindak ganas dan memaut tingkap itu sehinggap pecah. Dua kanak-kanak dalam kenderaan itu juga menangis ketakutan melihatkan aksi tidak bertanggungjawab bapa mereka itu.
Dalam hantaran sama, Amira memaklumkan bahawa dia sudah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan lelaki itu telah pun ditahan untuk siasatan.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu kini dalam proses penceraian dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak bulan April yang lalu.
Amira juga dalam pada itu mendedahkan bahawa dia pernah diugut untuk dirampas dan dibakar kereta miliknya serta pelbagai insiden lain yang boleh mendatangkan trauma buat dirinya dan anak-anak.
Menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata pengguna media sosial tampil mengecam tindakan lelaki tersebut yang dilihat panas baran dan terlampau mengikut hati apabila bertindak.
“Kasihan pada anak-anak. Jangan ingat mereka kecil lagi, mereka boleh lupa apa yang jadi. Berbincanglah elok-elok, jangan biar anak jadi mangsa.” komen seorang netizen.
Semoga pasangan ini bertemu jalan penyelesaian.