Perselisihan faham serta luahan di media sosial sebelum ini, memberikan sedikit gambaran bahawa hubungan Nelydia Senrose dan Qi Razali sedang bermasalah. Walaubagaimanapun, kedua-duanya menafikan perkara tersebut dan mengatakan mereka masih lagi berbaik seperti biasa.
Namun, Nelydia akhirnya telah mendedahkan cerita sebenar di portal Kosmo! mengenai percintaan beliau bersama Qi. Meskipun, berita mereka sedang membuat perancangan perkahwinan sudah diketahui umum, Nelydia memberitahu sebenarnya tiada apa-apa lagi rencana yang dilakukan ke arah perkahwinan.
Malah, aktres itu mengesahkan beliau dan Qi sudah pun membawa haluan masing-masing dan kini lebih selesa untuk hidup secara solo.
Terus terang, buat masa ini saya selesa bersendirian dan tidak mahu fokus fasal cinta. Kalau boleh, saya mahu buat keluarga bangga dengan pencapaian dalam kerjaya sebelum melangkah ke fasa seterusnya baik dalam alam perkahwinan ataupun perkara lain yang bakal saya ceburi.
Saya sedar sebelum ini banyak cerita yang mengatakan saya sedang dalam persiapan untuk mendirikan rumah tangga tetapi sebenarnya tidak ada-apa perancangan yang dilakukan. Saya tidak kisah jika cinta hadir kemudian. Apa yang paling penting sekarang ini saya mahu sayangkan diri saya dulu.
Ditanya mengenai punca mereka berpisah selepas tiga tahun menyulam cinta, Nelydia membuat keputusan untuk tidak menceritakan hal tersebut tetapi beliau juga tidak menolak jodoh seandainya mereka sudah ditakdirkan bersama satu hari nanti.
Kalau sudah jodoh dengan dia, saya terima ketentuan yang sudah tertulis, cuma sekarang, saya lebih selesa bersendirian memandangkan saya masih muda dan banyak lagi impian yang belum terlaksana.
Cinta tidak semestinya memiliki, keputusan untuk berpisah mungkin jalan yang terbaik buat Nelydia dan Qi kerana di usia Nelydia yang masih muda tentu sekali banyak lagi cita-cita dan impian beliau yang belum tercapai. Apa-apa pun, semoga kedua-duanya dapat menghadapi perpisah ini dengan penuh ketabahan di hati, bukan mudah untuk lepaskan orang yang kita sayang bertahun lamanya.