Semalam, seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai telah terjatuh ketika mencuci mukanya di Jeti Sungai Nipah, Sungai Besar di Sabak Bernam. Kejadian tersebut telah menyebabkan mangsa yang berusia 38 tahun hilang dan belum ditemui.
Sepasukan enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 petang.
Sehubungan dengan itu, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan dengan kerjasama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
Namun, anggota penyelamat bagaimanapun belum berjaya mengesan mangsa dan operasi disambung semula hari ini. Kejadian tersebut disahkan sebagai kes yang disiasat sebagai orang hilang.
Nelayan yang hilang selepas jatuh ketika cuci muka ditemui lemas
Menurut laporan KOSMO, misteri seorang nelayan yang dilaporkan hilang semalam selepas terjatuh ketika mencuci mukanya di Jeti Sungai Nipah, Sungai Besar di Sabak Bernam kini terungkai apabila mayatnya ditemui malam tadi.
Mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira tiga meter dari lokasinya terjatuh. https://t.co/f4VFy2l5bE
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 23, 2021
Memetik kata-kata daripada Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor, mayat nelayan lelaki berusia 38 tahun tersebut ditemui pihak bomba dan orang awam pukul 11.45 malam.
Mayat tersebut ditemui terapung di permukaan air pada jarak kira-kira tiga meter dari kawasan mangsa jatuh.
Mangsa dipercayai terjatuh di kedalaman dua meter sebelum ditemui di sekitar kawasan tersebut. Kini, mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Tambah Hafisham Mohd. Noor, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa telah melibatkan 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara