Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri besar Kedah yang ke-13, selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. PH kehilangan sokongan majoriti selepas beberapa ADUNnya beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) awal minggu ini.
Ini merupakan kali ke-2 beliau meletakkan jawatan sebagai ketua menteri negeri itu. Kali pertama dia mengambi keputusan yang sama pada Februari 2016 berikutan berlaku salah faham dengan bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Mukhriz yang membuat pengumuman di sidang medianya di Wisma Darul Aman, memberitahu dia sudah memaklumkan perkara ini kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi tadi.
Ketua pembangkang DUN Kedah dari PAS, Muhammad Sanusi Md Nor teah membuat pengumuman beliau memperoleh sokongan majoriti 23 ADUN daripada 36 wakil rakyat DUN Kedah bagi membentuk kerajaan baru bersama PN di negeri itu.
ADUN dari Lunas Azman Nasrudin dan dari Sidam, Robert Ling baru-baru ini telah mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong PN.
Dalam perkembangan sama, seramai 23 ADUN PN selesai mengadap Sultan Kedah, di Wisma Darul Aman hari ini.
Ianya dilakukan dalam tiga sesi bermula jam 10 pagi yang didahului lapan ADUN termasuk Muhammad Sanusi Md Nor. Mereka dikatakan menghadap Sultan selama kira-kira 30 minit sebelum kumpulan kedua masuk pada jam 10.30 pagi dan kumpulan ketiga pada jam 11 pagi.