Misteri Perkampungan Yurizawa Di Kepulauan Kyushu Pada Musim Panas Tahun 1994 – Bahagian 2

Trending

Misteri Perkampungan Yurizawa Di Kepulauan Kyushu Pada Musim Panas Tahun 1994 – Bahagian 2

Rozman terjaga dikejutkan Yamazaki. Dia tengok semua tengah sibuk mengemas. Rupa-rupanya dia paling lambat bangun. Pagi itu mereka kena berkumpul di balai raya untuk mesyuarat tugasan.

Advertisement

Kata Rozman, biasanya meriah kalau waktu macam ni tapi pagi itu suasana muram, tiada siapa bercakap, tiada gelak tawa, macam semua tak kenal antara satu sama lain. Masih tak selesai lagi dengan kejadian malam tadi agaknya.

7 years ago

Misteri Perkampungan Yurizawa Di Selatan Kepulauan Kyushu Pada Musim Panas Tahun 1994 - Bahagian 1

Udara pagi Yurizawa antara paling segar pernah di rasai Rozman.

Kat kampungnya di Kedah pun tak macam ni punya segar. Pemandangan pula seperti kelam, dengan kabus-kabus pagi masih berlingkar di kaki-kaki gunung dan gemerlapan embun pagi di sawah dan tanam-tanaman, rasa tenang je.

Penduduk-penduduk kampung yang mengambil udara pagi sentiasa mengucapkan ‘Ohaiyo, ohaiyo’ dengan ramah setiap kali berselisih.

Mungkin keramahan orang kampung, kesegaran dan keindahan pagi di Yurizawa memberi kesan positif kepada rakan-rakan Rozman. Sepanjang perjalanan, mereka saling bergurau senda dan gelak tawa antara satu sama lain.

Kumpulan Kentaro dah sampai terlebih dahulu dan separuh jalan ambil sarapan pagi.

Rozman duduk sebelah Gunma dari kumpulan Kentaro dan memeriksa samada Yumiko-san ada ke tak. Dah pastikan semuanya selamat, dia tanya Gunma ada tak benda-benda pelik jadi malam tadi kat tempat diorang?

Seluruh ahli kumpulan Kentaro memandang tepat ke arah Rozman.

“Kau pun kena jugak?” Tanya salah seorang dari kumpulan Kentaro yang Rozman tak ingat siapa.

Lily dari Filipina yang satu kumpulan dengan Rozman menceritakan kejadian malam tadi. Ahli kumpulan Kentaro berpandangan antara satu sama lain dan kemudian dia menceritakan kes di kumpulan mereka pula.

Pada malam pertama, seperti kumpulan Yamazaki, kumpulan Kentaro juga berdiskusi tentang pengalaman mereka di Yurizawa dan tidak dapat dielakkan dengan masalah.

Penduduk kampung yang semua orang tua, kemudahan kampung yang serba kekurangan, pasal orang kampung datang melawat berbisik ke lantai dan lain-lain lagi.

Semasa terdengar bunyi enjin bergema, mereka pun cuba tengok ke luar.

Tapi bukannya skodeng dari langsir, diorang ni pergi buka langsir luas-luas dan nampaklah perarakan orang bertopeng memegang pelita.

Warga Amerika, si Ben tu pula satu bangang nak keluar ambil gambar. Kentaro melarang keras diikuti oleh rakan-rakan lain tapi Ben berdegil juga dengan angkuhnya cakap “I’m not into your superstitious BS”.

Ben dah siap dengan kamera di leher buka engsel pintu.

Salah seorang dari ahli kumpulan, Kitaura menerkam Ben dan terjadilah pergelutan kat ruang tamu.

Tengah kelam-kabut tu, semua seakan kaku bila pintu diketuk. Pemegang pintu yang cuba dibuka berulang kali dan mujur 3 dari engsel kat pintu, Ben cuma sempat buka satu.

Mereka dikejutkan dengan seseorang di luar tingkap.

Orang itu memakai topeng musang, berdiri tegak dan melihat ke arah mereka.

Berpelukan lah semua orang dalam ketakutan. Orang bertopeng musang kemudiannya mengelilingi rumah dan bayang-bayangnya muncul setiap kali dia melewati tingkap.

Ben cuba untuk menutup langsir yang terbuka tadi dan belum sempat dia nak tarik, si topeng musang dah terpacul kat depan dia, betul-betul depan batang hidung, cuma di pisahkan oleh cermin tingkap je.

Kata Kentaro, sewaktu berhadapan dengan Ben, orang itu membuka topengnya untuk beberapa saat sebelum beredar. Semua tak nampak muka orang tersebut kerana terhalang oleh kepala Ben.

Tapi apa pun, selepas itu, Ben termangu.

Tak bercakap, tak tidur, termenung je. Mereka cuba ‘kejutkan’ Ben tapi fikirannya seolah-olah di tempat lain. Cuma beberapa minit kemudian dia cakap ngantuk dan pagi tadi dia bagitahu semua orang yang dia nak berhenti.

Rozman perasan mat salleh tu tiada kat balai raya lalu bertanya, Ben mana?

Kentaro bagitahu Yumiko-san menemani Ben ke simpang masuk kampung tepi lebuhraya tu. Dia akan menaiki bas ke bandar terdekat dan kemudian kembali ke Tokyo.

Apa Yumiko-san cakap pasal kejadian ni? Tanya group Yamazaki lagi.

“Dia mengamuk” Jawab wakil kumpulan Kentaro.

Macam susah nak percaya, Yumiko-san yang cerita tu boleh mengamuk. Kata Kitaura, menjerit-jerit makcik tu tadi, nasib baik korang (kumpulan Yamazaki) tak sampai lagi, kalau sekali harung la kena maki hamun juga.

Kumpulan Kentaro dah tawar hati nak teruskan kerja sosial ni.

Dah la malam tadi kena ‘tegur’, pagi tadi kena bambu pula.

Kami ni sukarelawan, bukan di bayar, datang sini pun pakai budget sendiri bla bla bla, satu-persatu ketidakpuasan hati diluah oleh ahli-ahli kumpulan Kentaro.

Yamazaki dan Gunma cuba memahami alasan mereka. Dah sampai sini pun, sekurang-kurangnya cuba lah tahan seminggu ke apa dan sebagainya.

“Ohaiyooo gozaimasu” Suara ceria Yumiko menghentikan perdebatan sesama mereka. Yumiko menyatakan bahawa Ben dah naik bas ke pekan dan kirim salam pada semua.

Dari tingkah lakunya, 180 darjah berubah dari pagi tadi, ceria dan riang seperti biasa. Tapi keceriaan Yumiko tak cukup untuk mengubah suasana berat dalam balai raya.

“Yumiko-san…” Kata Kentaro.

Dia kemudiannya menceritakan kejadian malam tadi kepada Yumiko, semua nya, tiada satu bahagian pun tinggal. Yumiko pula terangguk-angguk dan kelihatan cuba menyembunyikan perasaan sebenar di sebalik senyuman paksa yang dilemparkan.

“Tiada apa-apa lah…” Kata Yumiko tenang.

Tiada apa-apa kepala bapak kau, bentak Rozman dalam hati.

Tak perlu dia nak keluarkan suara, Yamazaki dah berhadapan Yumiko. Dia meminta Yumiko menceritakan hal sebenar kalau tak mereka tak punya pilihan selain dari menarik diri dan pulang ke Tokyo hari ini juga.

Terdiam makcik tu. Akhirnya mengalah.

Yumiko bagitau tiada apa yang paranomal tentang orang-orang bertopeng malam tadi.

Mereka itu ialah kaum-kaum asal penduduk Jepun sebelum kedatangan orang Jepun sekarang dari tanah besar China beratus tahun yang lampau.

Kiranya macam orang asli Jepun gitulah.

Mereka ini ada perjanjian dengan orang Yurizawa yang dimeterai semasa pembukaan kampung dan masih memegang pada perjanjian hingga sekarang. Apa yang mereka saksikan malam tadi adalah ritual kaum-kaum tersebut setiap malam.

Yumiko menerangkan lagi bahawa orang-orang bertopeng ini, kita panggil ‘Orang Hutan’ lah, memilih untuk menjaga diri mereka sendiri dan tak suka terdedah dengan dunia luar, apatah lagi orang luar seperti kalian.

Dia meminta maaf kalau di luar talian sebentar tadi sebab bersusah payah dia yakinkan orang kampungnya, terutama sekali Himiko-Sama untuk bersetuju menjalankan program ni dan sebab tu dia tertekan.

Ben pula tak habis-habis menghasut semua orang untuk join dia balik Tokyo sebentar tadi.

Ok lah, cukup adil walaupun masih skeptikal.

Mereka lupakan kejadian tadi dan beralah. Fokus di beri kepada aktiviti mereka di sana. Berdasarkan program, kumpulan universiti itu akan membaiki barang-barang seperti atap rumah yang bocor.

Jambatan rosak dan juga satu projek besar membaik pulih sistem pengairan tanaman dan bekalan air yang rosak dari pembinaan lebuhraya sebelah gunung berdekatan Yurizawa yang sedang giat dijalankan.

Tiada yang utama cuma mana-mana yang boleh di buat lah.

Sebelum itu mereka di bawa berjalan mengelilingi Yurizawa.

Jadi jakun la semua ambil gambar sana sini.

Kalau pelajar Jepun sendiri pun kagum dengan keindahan kampung tersebut apa lagi orang luar macam Rozman. Semasa mengelilingi, Rozman dan lain-lain perasan ada mesin-mesin gondola usang yang dah berkarat di setiap tebing sungai (kampung tu banyak sungai).

Menurut Yumiko mesin itu adalah untuk mengangkut arang batu dari lombong-lombong di kaki gunung dan terus ke sungai untuk di bawa ke kilang-kilang perusahaan melalui sungai-sungai. Rantai besi masih terikat di mesin dan melunjur jauh masuk ke hutan yang tak nampak penghujungnya.

Dulu, para pelombong tak perlu bersusah-payah mengangkut arang batu dari lombong, cuma perlu lambakkan dalam peti-peti kayu tergantung dan kemudian ditarik menggunakan mesin pulley ke bawah.

Salah seorang perasan pasal bunyi mesin malam tadi dan bertanya adakah dari benda alah ni?

Yumiko tergelak je dan bagitahu mesin ni dah tidak berfungsi sejak balik ke sini lagi bila aktiviti perlombongan ditamatkan perkhidmatannya. Bunyi-bunyi yang korang dengar tu datangnya dari pembinaan lebuhraya di sebelah gunung sana.

Semua gelak-gelak paksa. Mustahil lah, jauh kot pembinaan tu, tak kan lah dengar sampai kat kampung tapi di iyakan aje. Lagipun apa kejadah pembinaan buat tengah malam buta?

Kerana tak nak merosakkan suasana yang baik, mereka hanya mengiyakan sahaja.

Mereka berhenti di mana jalan berturap bertukar dengan jalan tanah merah.

Bukan seperti tanah merah lah hanya tak berturap. Jalan tanah merah tersebut menuju ke dalam hutan dan kat tepi ada kuil kecil dan beberapa patung sami botak diukir dari batu.

Pokok-pokok besar yang mengapit jalan besar tu pula diikat tali anyaman seperti tangkal. Mereka dah sampai di penghujung kampung dan Yumiko mengatakan di luar jalan ini tidak lain hanyalah hutan rimba.

Dulu tempat ni pintu masuk ke lombong-lombong di kaki bukit/gunung. Bunyi air terjun kedengaran dari dalam hutan dan semua merengek-rengek macam budak kecil untuk berendam.

Yumiko dah pasti tak benarkan lah sebab air terjun tu dalam wilayah Orang Hutan dan mereka perlu ingat salah satu larangan Himiko-Sama, tidak dibenarkan merayau sesuka hati terutama sekali di luar kawasan kampung.

Pujuk rayu tak diendahkan Yumiko dan mengingatkan yang mereka punya aktiviti penuh hari itu. Aktiviti sosial bermula dan mereka membaiki beberapa rumah yang dikenal pasti memerlukan perhatian segera.

Kata Rozman, dia ingatkan negara semaju Jepun ni mestilah terjaga hal ehwal rakyat tapi rupa-rupanya lebih kurang macam kat Malaysia juga.

Rumah tunggu masa nak roboh pun ada, siap pasak pakai tiang lagi. Kadang-kadang Rozman dan Lily berseloroh, ini macam kat negara diorang je.

Mereka berhenti untuk makan tengahari. Satu lagi hidangan khinzir.

Yumiko ni macam tak sensitif pula, padahal dia tahu si Rozman ni muslim. Lain-lain dah meluru ambil makanan, lapar gila sebab pagi tadi cuma makan bubur yang tak sedap.

Terpaksalah Rozman balik kejap kat rumah ambil Nissin mee segera. Apa yang eloknya dia 7 cawan pek mee segera itu dibungkus sebelum datang sini tapi kalau hari-hari hidangan bacon dan ham, mau terpaksa diisytiharkan darurat juga ni.

“Can I follow?” Tanya Lily.

Di rumah, Rozman ambil mee cawan manakala Lily masuk tandas sebab dari tadi menahan. Sementara tunggu Lily selesai, Rozman lepak kejap kat salah satu ruang dalam rumah.

“Anoo..sumimasenn” Kedengaran suara orang tua menegur. Rozman pergi ke pintu tapi tiada orang pula.

“Konichiwaa” Sekali lagi Rozman ditegur, kali ini dia ke tengok belakang rumah, masih tiada apa-apa.

“Konichiwaa” Rozman membalas.

“Konichiwaa, konichiwaa, konichiwaa” berkali-kali Rozman ditegur.

Dia cuba cari dari mana datang bunyi tersebut. Nak terhenti jantung Rozman apabila mendapati ucapan itu datangnya dari bawah lantai ruang tamu, tempat yang orang kampung asyik berbisik-bisik semalam.

Dia berlari ke belakang dan bertembung dengan Lily di dapur yang serta-merta menampar Rozman.

“Pengotor!” Jerit Lily.

WTF?

“Ko ngendap aku kencing ye!”

Lily mengatakan nampak ‘Rozman’ mengintai dari rekahan pintu bilik air.

Okay. Itu dia. Ditariknya tangan Lily berlari keluar rumah. Di luar Lily tolak Rozman sampai terjatuh dan maki hamun tanpa henti.

“Lily, saya tidak mengintip! dan ada suara menyeramkan yang bercakap dengan saya di bawah lantai!”

“OH SHUT THE FU-, tunggu, siapa tu?”

“Siapa apa?”

Suara orang tua ketawa kedengaran dari dalam rumah. Mereka menoleh dan terlihat ada atuk tengah terkekek-kekek sambil tuding jari ke Lily.

“Orang tua pengotor!” Lily dengan muka merah padam menyerbu masuk ke rumah.

Tapi dia cuma sempat buka pintu, lihat sebentar dan tutup semula. Kemudian tarik tangan Rozman beredar dari situ. Rozman tanya Lily kenapa tergesa-gesa tak tentu pasal ni?

“Tiada seorang pun di dalam rumah. Tetapi saya mendengar ketawa, dari bawah lantai”

Rozman memberitahu, ‘Saya dah beritahu awak untuk tengok”

Lily nak bawa isu ini ke Yumiko-san tapi Rozman cakap tak payah.

Apa yang awak nak beritahu dia? Rumah ada hantu?. Kena gelak je nanti.

Aktiviti tengahari itu diteruskan sehingga makan malam lebih awal. Loceng tokong berbunyi menandakan perintah berkurung dah nak mula.

Malam itu Rozman dan Lily cerita apa yang jadi siang tadi ke ahli kumpulan yang lain. Dan semua tak berani nak lepak kat ruang tamu. Beramai-ramai berhimpit dalam bilik sebesar ruang stor.

Mereka punya takut lepas dengar cerita tu sampai kalau sorang nak pergi tandas, satu kumpulan pergi lepas tu ambil giliran masuk tandas walaupun tak rasa nak membuang.

Bunyi enjin bergema kedengaran di luar dan cahaya pelita terpancar di sebalik langsir tingkap. Perarakan Orang Hutan menuju ke tokong tengah berlangsung ketika ini.

Semua tak berani nak tengok dari tingkap dan dirasakan ahli Kentaro, lebih kurang 200 meter dari mereka pun macam tu juga, berkurung ramai-ramai dalam bilik sempit.

Untuk menghiburkan diri, mereka berkongsi cerita-cerita lucu, pengalaman dan lain-lain.

Selain dari Lily, Rozman dan Yamazaki, ada lagi dua pelajar perempuan, Sonoko, asal Tokyo dan Yumi dari Taiwan dalam kumpulan mereka.

Kumpulan lagi satu pula didominasi oleh lelaki dengan Kentaro, Kitaura, Gunma dan perempuan seorang, Rika yang waktu itu tengah dating dengan Ben.

Sejak Ben dah balik, tinggal 4 orang dalam kumpulan Kentaro. Rozman satu jurusan dengan Yamazaki, Ben dan Gunma. Lain-lain baru kenal bila dia sertai kelab.

Masa tu kata Rozman borak pasal Doraemon.

Kan seronok kalau ada Dokodemo Door (Pintu Ke Mana Sahaja) dan keluar lah lawak-lawak tah apa-apa. Gelak sakan sampai lupa pasal Orang Hutan kat luar dan kat ruang tamu rumah tu berhantu.

Tengah gelak-gelak tu ada pula ‘orang lain’ turut serta gelak sama-sama. Bila dah berhenti gelak pun, masih dengar lagi ketawa terkekek-kekek datang dari ruang tamu.

Hening. Semua tak berani berkata-kata.

“Motto, motto, motto…” Kata suara dari ruang tamu.

Derapan tapak kaki di jerami seperti orang mundar-mandir kedengaran di ruang tamu.

Perempuan semua dah peluk-peluk sesama mereka, yang jantan dua orang si Yamazaki dan Rozman tak kan nak turut sama pula kan. Jadi kenalah beranikan diri pergi tengok padahal macam dah nak pengsan.

Bunyi orang berjalan hilang sebaik Rozman dan Yamazaki berada di ruang tamu. Rozman tinjau ke luar tingkap dan dapati luar rumah kosong.

“Koko, koko, koko” kelibat lembaga hitam memanggil-manggil Yamazaki dan Rozman dari ruangan dapur.

Macam lipas kudung dua orang itu lari masuk bilik, tutup pintu dan berharap tiada yang cuba ‘beramah mesra’ dengan mereka kat dalam bilik pula.

Kelima-lima pelajar berselubung dalam beg tidur masing-masing dan tarik zip sampai atas. Tengah mengigil-gigil dalam beg tidur tu terdengar pula orang mengira.

“Ichi..ni..san..yon..go..ichi..ni..san..yon..go..ichi..ni..san..yon..go”

Rozman tahu bukan dia seorang dengar sebab dia dapat dengar Sonoko, Yumi dan Lily menangis. Yamazaki pula cakap “tolong lah pergi” berulang kali dengan suara terketar-ketar.

Sebagai orang Islam apa lagi perlindungan yang Rozman boleh buat selain membaca doa. Itu pun apa yang dia ingat lah. Tak tahu kenapa dalam ketakutan amat sangat tu, matanya berat je.

Dia sedar pun bila rasa mata pedih sebab matahari  suluh ke arah muka dengan suara Yumiko kejut bangun. Seluruh kumpulan terlajak tidur pagi itu.

Bersambung..

Sumber : #dammerung

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...