Misteri Perkampungan Yurizawa Di Selatan Kepulauan Kyushu Pada Musim Panas Tahun 1994 – Bahagian 1

Trending

Misteri Perkampungan Yurizawa Di Selatan Kepulauan Kyushu Pada Musim Panas Tahun 1994 – Bahagian 1

Pada musim panas tahun 1994, Rozman dan 9 lagi rakan-rakan universiti dari sebuah pusat pengajian tinggi di Chiba, Jepun menaiki van ke sebuah perkampongan di Selatan Jepun.

Advertisement

Sebagai pelajar tahun tiga, Rozman dikehendaki memenuhi kredit elektif dimana dia harus memilih samada mengambil kursus elektif atau buat aktiviti tanggungjawab sosial

Cuaca musim panas terlalu biasa baginya untuk bersantai sahaja di dalam rumah. Jadi Rozman memilih untuk menyertai sebuah kelab sosial di universitinya membantu golongan tua di luar bandar

Destinasi yang dipilih pada tahun itu adalah sebuah perkampungan bernama Yurizawa, terletak di selatan kepulauan Kyushu dan antara kampung berusia lebih seratus tahun yang masih wujud ketika itu.

Kumpulan pekerja amal seramai 10 orang itu di guide oleh Yumiko, wanita separuh abad yang sentiasa ceria dan suka bercakap, berasal dari Yurizawa.

Yumiko memberitahu, pada era kebangkitan ekonomi Jepun yang bermula pada tahun 60an menyaksikan banyak golongan-golongan muda meninggalkan kampong halaman untuk membina kehidupan baru di kota-kota besar.

Penghijrahan ini menyebabkan populasi desa seperti Yurizawa susut mendadak dan tahun demi tahun banyak kampung-kampung pupus dari peta Jepun kerana kematian penduduk-penduduk yang rata-rata orang tua.

Perjalanan mengambil masa 16 jam dari Tokyo dan van mereka berhenti di sebuah pekan kecil kira-kira 15-20 kilometer dari Yurizawa untuk bermalam.

Beberapa pelajar menyoal keputusan bermalam di pekan tersebut, kenapa tak teruskan sahaja sampai ke Yurizawa kerana dah dekat, macam membazir je bermalam kat pekan ni.

Lagipun kebanyakkan mereka (termasuk Rozman) adalah berpengalaman dalam aktiviti luar.

Jadi tiada masalah nak tidur kat luar kalau tempat penginapan masih tak sempat disediakan, boleh je pacak tiang khemah atau tidur dalam beg tidur je.

Yumiko tidak menjawab.

Kata Rozman, dia perasan air muka Yumiko berubah.

Ada waktu dia macam termenung kejap sebelum tergesa-gesa turun ke bawah untuk berurusan dengan rumah tumpangan. Rozman malas nak berbincang soal tu, benda kecik je dan lagipun dia dah tak larat nak duduk dalam van.

Malam itu, Rozman dan rakan-rakan lain melepak kat sushi bar. Dalam group terdapat 4 orang pelajar asing dari Amerika, Filipina, Taiwan dan juga Rozman dari Malaysia.

Kata Rozman, Yumiko ni jenis senang ditegur, termasuklah lah awek-awek Jepun lain dalam kumpulan tu.

Jadi Rozman dan Ben dari Amerika, salah satunya lelaki bukan warga Jepun dalam kumpulan ambil giliran bercerita pasal negara masing-masing.

Menurut Yumiko, Yurizawa dibuka ketika era Meiji Restoration dan diasaskan untuk menyokong revolusi industri Jepun pada lewat abad ke-19 melalui perlombongan arang batu. Boleh dikatakan majoriti penduduk disitu adalah pelombong arang batu di lombong terletak di kaki-kaki gunung.

Selepas kejatuhan Jepun pasca-WW2 dan kebangkitan Jepun sebagai kuasa besar ekonomi pada tahun 60an.

Penggunaan arang batu semakin berkurangan kerana migrasi ke tenaga nuklear. Ledakan ekonomi Jepun tahun 60an menyebabkan penutupan lombong-lombong dan penduduk kampung mula bercucuk tanam.

Generasi muda pula mengambil keputusan berhijrah ke bandar-bandar besar macam Fukuoka atau Tokyo.

Cuma beberapa generasi muda seperti Yumiko yang masih setia dengan Yurizawa. Kampung yang asalnya mempunyai 150 keluarga kini hanya mempunyai populasi tidak lebih 50 orang.

Memandangkan sushi bar pun dah nak tutup, ambil keputusan untuk bermalam dan awal pagi besoknya bertolak ke Yurizawa.

Perjalanan cuma 30 – 40 minit itu membawa mereka ke sebatang jalan kecil tidak bertanda cabang dari highway. Van memasuki sebuah terowong sempit yang merupakan satu-satunya jalan masuk dan keluar.

Yurizawa terletak dalam lembah dikelilingi bukit-bukau dan gunung-ganang.

Rumah-rumah berselerakan di kaki bukit dan pemandangan hijau sawah padi memberi perasaan nostalgik kepada Rozman yang berasal dari Kedah.

Kedatangan mereka disambut oleh penduduk kampung dalam beberapa jenis balai raya.

Rozman agak terkejut lihat penduduk kampung semua orang tua dalam lingkungan 75 ke 80 tahun, paling muda pun adalah 3-4 orang itu pun sekitar 50 – 60 tahun.

Penduduk-penduduk kampung yang ada dalam balai raya adalah generasi terakhir.

Jika kesemua mereka meninggal dunia, kampung tersebut akan ditutup dan jadi kampung terbiar seperti apa yang terjadi di sekeliling Yurizawa.

Pada zaman kegemilangan daerah tersebut, terdapat lebih dari 30 desa wujud di sekeliling Yurizawa dimana ekonomi setempat adalah perlombongan arang batu.

Kini hanya Yurizawa yang masih kekal, itupun hanya menunggu masa untuk jadi ghost village.

Disebabkan itu, Yurizawa tiada balai polis, tiada sekolah, tiada bomba, tiada klinik dan bekalan elektrik pun dari set generator dibeli sendiri.

Bekalan air pula di pam terus dari gunung dan tak perlu ditapis kerana lagi bersih dari air mineral yang beli kat kedai. Kalau sakit pula, hanya berubat sendiri menggunakan herbal-herbal tradisional.

“Macam tempat buangan orang-orang tua”

Itu lah yang singgah di minda Rozman bila mereka beramah mesra dengan penduduk Yurizawa.

Sampai naik kekok pula kerana santai berpakaian dengan seluar pendek dan singlet sedangkan atuk-atuk dan nenek-nenek disitu lengkap berpakaian tradisional.

Ketua komuniti adalah rahib wanita bernama Himiko-Sama.

Mendakwa dirinya berusia hampir 100 tahun, menyatakan rahsia umur panjang adalah mendaki 500++ anak tangga setiap pagi untuk ke temple di kaki gunung.

Himiko-Sama seorang berpewatakan serius berbanding dengan penduduk lain yang rata-rata suka bergurau macam atuk-atuk, nenek-nenek yang ramah tamah.

Perkara pertama yang di lakukan oleh rahib tersebut, selain dari menyapa mereka yang lain adalah menerangkan benda-benda yang dilarang buat sepanjang mereka di Yurizawa.

Kebiasaannya benda-benda biasa lah. Jaga kelakuan, jangan rosakkan itu dan ini, cuma ada satu benda yang Rozman rasa pelik.

Mereka kena duduk dalam rumah dan tak dibenarkan keluar sebaik loceng temple berbunyi menandakan matahari dah terbenam. Walau keluar kat porch rumah pun tak boleh. Rumah pula kena dipastikan kunci semua pintu dan tingkap.

Siang dihabiskan berkenalan dengan penduduk kampung. Adalah jamuan sikit tapi Rozman tak makan sebab semua makanan berasaskan daging adalah daging babi.

Menurut Rozman, semasa mereka menziarah rumah penduduk disitu, rumah-rumah kosong lagi banyak dari rumah-rumah berpenghuni.

Jarak antara rumah pula agak jauh kerana dipisahkan oleh samada ladang atau sawah padi yang luas. Kagum Rozman melihat sawah padi dan ladang-ladang yang subur dan segar-bugar.

Kuat betul orang-orang kampung Yurizawa nih. Dah tua bangka pun masih larat bercucuk tanam. Lagi-lagi dengan sawah dan kebun semua terjaga rapi.

Mereka dipisahkan kepada dua kumpulan, satu kumpulan ada 5 orang dan mereka bebas memilih mana-mana rumah yang kosong sebagai penempatan sementara.

Kumpulan diketuai Kentaro, memilih rumah sebelah jalan menuju ke terowong manakala group Rozman diketuai oleh Yamazaki pula memilih rumah sebelah tangga menuju ke temple.

Kedua-dua rumah adalah berjiran dan dipisahkan oleh kebun kobis.

Sebelum mereka pindah masuk, Yumiko memberitahu bahawa rumah-rumah kosong di Yurizawa adalah peninggalan penduduk yang telah meninggal dunia dimana kebanyakannya diketahui dah mati selepas terbau mayat yang dah membusuk.

Jadi Yumiko menasihatkan supaya mereka tidak berkelakuan tidak senonoh dalam rumah untuk menghormati roh-roh simati yang mungkin masih berkeliaran dalam rumah-rumah tersebut.

Mengetahui serba sedikit misteri di Jepun, Rozman dan yang lain dah sangat menyedari bagaimana untuk menjaga diri masing-masing.

Rakan-rakan Jepunnya yang lain buat macam kuil kecik dalam rumah untuk meminta kebenaran tuan rumah menumpang sebentar semasa mereka gotong-royong membersihkan kediaman mereka untuk 2 minggu yang seterunya.

Masa mereka bersihkan rumah, adalah beberapa jiran datang melawat bawa makanan bagai.

Apa yang menghairankan, setiap orang yang datang akan bersujud kat tengah ruang tamu membisikkan sesuatu ke lantai.

Bila ditanya (Rozman dan lain-lain fasih berbahasa Jepun), orang-orang tu cuma cakap ‘bagitau tuan rumah yang korang ni orang-orang baik menumpang rumah mereka’.

Oooookaayyyy. Agak seram disitu tapi di anggap tiada apa-apa kecuali sifat eksentrik tradisi tempatan.

Mereka dijemput makan malam awal, sekitar pukul 5 petang di balai raya. Mujur kali ini ada ikan jadi memang Rozman dengan tak tau malunya melantak macam kat rumah dia.

Bunyi kicauan burung-burung pulang ke sarang di langit menandakan hari sudah senja. Paluan loceng sayup-sayup kedengaran menandakan semua harus pulang ke rumah dan berkurung sehingga pagi.

Tak sangka yang penduduk kampung begitu serius pasal perintah berkurung dan ‘menghalau’ Rozman dan lain-lain pulang ke kediaman mereka.

Bergegas lah semua keluar dari balai raya apabila Yumiko beria-iya suruh mereka pulang. Kepelikan bertambah apabila sebelum pulang, Yumiko akan keliling rumah pastikan semua tingkap berkunci.

Mereka berkumpul kat dewan membincangkan pasal perintah berkurung tersebut.

Masa tu teknologi masih biasa lagi jadi aktiviti dalam rumah agak terhad. Rumah tu jangan kata nak layan TV dan radio, suis lampu pun tiada, pakai pelita je.

Nasib baik ada paip dan bilik air dalam rumah. Ramai juga lah tak puas hati sebab tak boleh keluar. Gila boring terperap je dalam rumah.

Mati akal lah masing-masing tak tahu nak buat apa.

Jadi hanya ingat hari pertama mereka di Yurizawa.

Ada yang agak menyesal sebab kampung itu kuno sangat, ada yang memikirkan untuk hari-hari mendatang dan ada juga yang tertekan sebab kampung tu takde awek.

Tengah rancak berborak, mereka dikejutkan oleh bunyi mesin. Bunyi tersebut bukan dekat dengan rumah tapi dalam bentuk gema, jauh dari mereka tapi cukup kuat untuk di dengari sehingga ke dalam rumah.

Bunyi tu kata Rozman macam rantai besi yang ditarik ditambah dengan deruman enjin seakan mesin rumput.

Mereka cuba meninjau dari langsir tingkap dan terkejut mendapati di luar ramai orang berpakaian yukata beramai-ramai jalan depan rumah mereka.

Setiap dari mereka pegang pelita dan memakai topeng-topeng muka binatang macam musang, arnab, ayam, babi dan sebagainya.

Orang-orang di luar mendaki tangga menuju ke temple sebelah rumah mereka.

Mula-mula ingatkan orang-orang kampung situ tapi bila diperhatikan betul-betul, orang-orang tersebut semuanya berjalan dengan lancar. Berbadan tegap, ada yang sasa, rambut hitam dan kulit tangan, kaki tegang.

Pendek kata tubuh badan dan pergerakan mereka tak macam orang berumur 70 tahun ke atas.

Mungkin orang luar kot, kata salah seorang rakan. Tapi pakai topeng? seriau seh.

Gara-gara ketakutan, mereka berpakat untuk tidur di ruang tamu beramai-ramai malam itu dan setiap kali pergi tandas, kena berteman walaupun cuma 3 meter dari ruang tamu.

Sedia maklum bagaimana lasaknya lagenda Jepun dari sesi-sesi tontonan filem-filem seram “direct-to-videos J-horror” bersama Yamazaki (roommate Rozman di kampus), mereka tak nak ambil risiko.

Mungkin sebab itu lah Yumiko dan penduduk kampong bersungguh melarang mereka keluar rumah waktu malam.

Sekarang mereka dilanda dilema.

Beberapa orang dari mereka dah rasa tak sedap hati dan nak balik.

Masalahnya, van cuma akan datang lagi 2 minggu dan hanya Yumiko yang tau hubungi  pemandunya. Nak cakap dengan Yumiko pula serba salah, nanti dia cakap apa pula, dah la bawa jauh-jauh dari Tokyo.

Yamazaki sebagai ketua kumpulan ambil keputusan untuk mengabaikan sahaja penampakan yang berlaku.

Esoknya dia akan cuba menerangkan secara baik dengan Yumiko-san pasal ni dan tengok macam mana, mungkin boleh pindah rumah jauh sikit dari tangga kuil tu ke.

Apa-apa pun komitmen dah diberi, Yumiko-san pun dah bertungkus-lumus membuat persiapan untuk trip ini. Rasa macam tak adil pula tiba-tiba nak balik. Ketiadaan teknologi amatlah dirasai walaupun untuk tahun 1994.

Lama je rasa malam tu. Nak berborak pun tak tahu pasal apa dah. Jadi layan je lah gemaan enjin yang masih kedengaran sampai terlelap.

Rozman terbangun tengah malam nak kencing.

Mula-mula niat nak kejutkan Yamazaki tapi tak sampai hati pula bila lihat apek tu terbongkang baik punya. So pergi sendiri ajelah, dekat je.

Bunyi enjin masih kedengaran so tiadalah rasa seram sangat, kalau sunyi sepi boleh rasa seramnya.

Berbekalkan pelita, Rozman menuju ke bilik air terletak di belakang sebelah dapur. Bilik air rumah tu memang terlalu usang lah.

Jamban cangkung diperbuat dari kayu dan flush pakai simbah.

Sejak Rozman ni asal orang kampung, tiada hal lah jamban biasa macam ni. Tengah syok memancut air kencing, bunyi enjin yang bergema dari tadi berhenti secara mendadak.

Kali ni dengar bunyi tapak kaki pula. Bukan seorang, tapi ramai macam orang berarak.

Selesai kencing, Rozman berhati-hati mengintai dari tingkap dapur dan mendapati orang-orang bertopeng tadi dah turun dari kuil dan berjalan menuju ke arah terowong keluar dari Yurizawa.

Rozman kembali ke ruang tamu untuk lihat dari posisi tingkap depan pula.

Sangkaannya orang-orang itu masuk terowong salah. Rupa-rupanya orang-orang tadi mengusahakan sawah padi dan ladang-ladang di sekeliling kampung.

Rozman lihat sendiri dengan matanya bagaimana masih memakai topeng, mereka-mereka ini terbongkok-bongkok di sawah padi dan mengusahakan ladang tanaman.

Bulu roma meremang tak payah cakap lah, macam nak terapung dah badan kata Rozman. Cepat-cepat dia masuk dalam beg tidurnya.

Walaupun dia tahu kat luar ramai orang, tapi tak dengar pula dari dalam rumah ni. Dia buka zip dan cuba mengamati. Sunyi sepi. Bunyi cengkerik pun tiada.

Hmmm. Rozman menaikkan zip bag tidurnya sehingga ke atas dan berharap cepatlah matahari terbit.

Bersambung..

Sumber – @dammerung

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...