Awal pagi tadi, kita digemparkan dengan berita pemergian Pengarah terkenal, Mamat Khalid akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak.
Sudah semestinya, pemergian Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid disifatkan sebagai kehilangan yang besar dalam industri seni.
Namun, ia juga tidak terlepas dari menjadi perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut menzahirkan rasa sedih. ketika ditemui di Program Senamrobik Perdana sempena Peja Trophy 2021, hari ini di Padang Lintau, Minjoi.
Menurutnya, pemergian arwah bukan sahaja kehilangan besar dalam industri perfileman, malah ia juga memberi kesan kepada dirinya oleh kerana pernah membesar bersama-sama arwah.
Saya ingin menyatakan rasa sangat sedih dan dukacita pagi ini apabila mendapat berita tentang kematian Allahyarham saudara Mamat Khalid yang sudah saya anggap seperti abang kandung saya sendiri.
Tambahnya lagi, beliau juga mengakui sangat rapat dengan arwah serta ahli keluarganya kerana mereka yang membesar bersama.
Saya berasa amat sedih dengan pemergian Kekanda saya Allahyarham Mamat Khalid. Saya membesar dgn kekaguman akan bakat besarnya. Semoga Allah himpunkan Allahyarham bersama org2 yg beriman serta beramal soleh.
— Faizal Azumu (@PejaOfPerak) October 24, 2021
Selain itu, beliau juga turut menyeru orang ramai agar bersama-sama mendoakan pemergian arwah serta segala urusannya dipermudahkan.
Marilah sama-sama kita mendoakan agar arwah diampunkan segala dosa dan dihimpunkan bersama orang beriman serta beramal soleh.
Difahamkan, jenazah arwah akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Paloh, Ipoh, selepas Solat Zohor.
Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis, Datuk Lat juga turut meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak.
Semoga roh arwah dicucuri rahmat.
Jangan lupa ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.