Keadaan sebatang jalan raya yang dipercayai berlokasi di Pasir Mas, Kelantan meraih perhatian netizen apabila keadaannya dilihat sangat daif dan dianggap tidak patut wujud dalam zaman moden pada ketika ini.
Menerusi foto yang dikongsi di laman Facebook Kelantan State itu, jalan raya tersebut dilihat rosak teruk apabila ianya pecah pada bahagian tepi dan terdapat lubang besar hampir semua tempat.
Yang lebih menyedihkan, apabila penduduk setempat mengambil inisiatif sendiri dengan menampal jalan berlubang dengan menggunakan pakaian terpakai atau ‘bundle’.
Assalamualaikum admin, ini gambar jalan kampung saya, teruk admin, jalan pun tutup lubang pakai baju ‘bundle’ (terpakai) je.
Lokasi Jalan Bukit Perah ke Cabang 4 Batu Karang. Kawasan daerah Pasir Mas, bawah Parlimen Rantau Panjang, DUN Bukit Tuku.
Sehubungan dengan perkongsian itu, ramai netizen meluahkan rasa sedih melihat kedaifan jalan tersebut dan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil rakyat di kawasan tersebut agar bertindak segera bagi membaiki jika aduan itu benar.
“Paling sedih tengok lubang tutup dengan baju bundle tu. Tolong panjangkan aduan ini kepada pihak PBT dan wakil rakyat dengan segera.” tulis seorang netizen.
“Biasalah jalan kampung, YB, wakil rakyat, pengarah, orang besar (VIP) tak lalu, semua pejam mata. Kesian penduduk kampung, patut YB kawasan ambil cakna hal ini.” sahut seorang pengguna Facebook yang lain pula.