Malaysia dan Australia mengukuhkan komitmen bersama dalam memastikan bekalan tenaga global kekal stabil dan berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese menegaskan kepentingan mengekalkan aliran perdagangan terbuka serta memperkukuh rantaian bekalan tenaga melalui kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.
“Kami akan saling bertukar pandangan mengenai perkara berkaitan perdagangan atas dasar ‘tiada kejutan’ selain memperdalam kerjasama praktikal keterjaminan tenaga untuk membolehkan dua negara mencapai matlamat bersama.”
“Bekalan tenaga global yang terbuka serta berdaya tahan ini kekal penting terhadap keterjaminan dan kesejahteraan rakyat dua negara ini dan kami akan terus berunding mengenai perkembangan yang mungkin memberi kesan ke atas bekalan tenaga serta pasaran,” kata Anwar dan Albanese dalam kenyataan bersama.
Kerjasama ini turut merangkumi sokongan terhadap peralihan tenaga serta usaha menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB), di samping memperkukuh hubungan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang telah dipersetujui sejak 2021.
Dalam masa sama, kedua-dua negara turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berterusan di Asia Barat yang dilihat memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan serta harga tenaga global, termasuk minyak dan gas asli.
“Australia dan Malaysia berkongsi kebimbangan mendalam berkaitan konflik di Asia Barat, impaknya yang meluas serta kesan ke atas rantau ini, termasuk membabitkan rantaian bekalan tenaga, harga serta aliran bekalan tenaga penting seperti rantaian minyak dan gas asli,” menurut kenyataan itu.
Selain sektor tenaga, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara JAKIM dan Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia bagi memperluas akses pasaran serta memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian.
Menurut Anwar, Malaysia kekal sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai kepada Australia dalam pelbagai situasi.
“Malaysia sentiasa menjadi rakan boleh diharap untuk Australia. Kami bersama ketika tempoh sukar dan senang sepertimana yang telah dibuktikan sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, Australia merupakan rakan dagang ke-12 terbesar Malaysia pada 2025 dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM78.63 bilion. Hubungan erat ini terus diperkukuh melalui kerjasama dalam aspek ekonomi, teknologi serta keselamatan serantau.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
