Seorang pelajar dilaporkan terpaksa dipotong kaki dan jari hanya kerana memakan makanan lebihan semalam atau ‘leftover food’ setelah mengalami keracunan.
Menurut laporan NY Post, pelajar yang berasal dari Amerika Syarikat itu telah mengalami sakit badan dan mual setelah dia memakan nasi, ayam dan lo mein (sejenis makanan cina) dari sebuah restoran yang disimpan selama beberapa hari.
Setelah itu, dia dibawa ke hospital dan pakar perubatan telah mendapati bahawa pelajar itu mengalami keracunan makanan sehinggakan organ dalamannya itu turut gagal berfungsi selain ruam yang teruk pada seluruh kulit.
Selepas 20 jam dimasukkan ke hospital, keadaan pelajar itu berada dalam keadaan stabil namun doktor telah mendapati pelajar itu dijangkiti bakteria jenis Neisseria Meningitidis selepas ujian darah dan air kencing dilakukan.
Ianya sekaligus menyebabkan darah beku dan paru-paru pelajar tersebut gagal berfungsi.
Pihak hospital kemudian terpaksa memotong kaki pelajar itu dari paras lutut ke bawah serta jarinya akibat jangkitan kuman yang sangat teruk.