Pelakon Didie Alias tampil mempertahankan pelakon veteran Mak Wan Latah, atau nama sebenarnya Halimatussa’diah Mohd. Daud, 61, yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meludah pembantu peribadinya.
Dalam temu bual bersama Gempak, Didie memberitahu bahawa dia ada menghubungi Mak Wan menerusi panggilan telefon dan pelakon veteran itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dilemparkan.
Selain itu, Didie juga menyatakan bahawa dia tidak faham dengan pihak yang masih bersungguh-sungguh hendak mengenakan tindakan undang-undang kepada Mak Wan walaupun isu itu bukanlah sesuatu yang besar.
Saya pun tak faham kenapa dia nak jatuhkan Mak Wan. Mak Wan tu bukan level artis popular yang kau nak jatuhkan.”
Menurut Didie, pelakon veteran itu bukanlah seseorang yang mempunyai harta yang banyak sebaliknya hanya ada kasih sayang untuk anak-anaknya sahaja.
Sebelum ini, Mak Wan dipanggil ke mahkamah atas dakwaan sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, dengan tujuan membangkitkan kemarahan dalam kejadian yang dikatakan berlaku di Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai Batu Kurau.
Mak Wan didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM100 jika didapati bersalah.
Konflik antara Mak Wan dan bekas pembantunya mula mendapat perhatian susulan pendedahan video tentang Mak Wan yang mempamerkan sisi negatif pelakon itu di akaun TikToknya.