Penceramah bebas, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee meluahkan rasa kecewa dengan kemunculan lagu-lagu raya masa kini yang dianggapnya tidak sesuai untuk didendangkan ketika Syawal.
Dia yang ditemui mStar Online berkata, perubahan ‘trend’ dalam pembikinan lagu-lagu raya pada ketika ini tidak boleh dianggap sebagai satu pembaharuan tetapi hanyalah pengaruh budaya dari barat.
Dalam pada itu, Ridhuan juga memaklumkan bahawa lagu-lagu raya kini sudah hilang ‘roh’ dan jati diri kerana lebih banyak terjerit-jerit dan terkinja-kinja seperti orang ‘hilang pedoman’.
Paling malang ia dianggap sebagai satu inovasi sedangkan lagu dan muzik itu terjerit-jerit dan terkinja-kinja. Bagaimana nak rasa suasana hari raya?
Lebih malang lagi, ada pula menyanyikan lagu raya bersama bapok, rosak lagu raya sampai mak sendiri tak sanggup nak tengok.
Katanya lagi, ada penyanyi yang memuji lagu mereka sendiri sedangkan yang mendengar adalah peminat dan lebih baik mereka mendengar suara hati pendengar.
Dia juga berpendapat bahawa lagu-lagu nyanyian penyanyi veteran seperti M Nasir, Tan Sri P. Ramlee dan DJ Dave sepatutnya dijadikan contoh penyanyi masa kini kerana lagu nyanyian mereka masih malar segar berikutan lirik serta susunan muzik yang menyentuh perasaan pendengar.
“Cuba tanya pengkarya seperti M Nasir, saya tidak fikir dia akan tergamak untuk memasukkan elemen rock atau R&B dalam lagu raya. Saya amat kenal orang seperti ini, jati dirinya amat kuat. Kepada pengkarya dan penyanyi hari ini, cuba dengar balik, tenung dan renungkan kenapa lagu raya 70an, 80an begitu menusuk..” ujarnya lagi.