Dilaporkan kini satu kegiatan atau sindiket yang menggunakan kanak-kanak untuk mencuri di kedai makan sedang giat berlaku di kedai-kedai makan dan juga restoran yang beroperasi sekitar Klebang, Melaka.
Perkara tersebut juga dikongsikan seorang pengguna Facebook bernama Marina Md Ramli di mana dia ada memuat naik rakaman video CCTV yang membongkarkan kegiatan kecurian tersebut.
Kelihatan begitu terlatih, kanak-kanak itu dilihat pantas menggerakkan langkah ketika melakukan jenayah itu dan ia dipercayai berlaku di restoran Melantak Steak Hub, Klebang.
Kanak-kanak perempuan berbaju sekolah itu dilihat keluar dari tandas dan terus berjalan untuk membuka loker simpanan pekerja yang terletak bertentangan dengan tandas itu.
Budak itu kemudian mengeluarkan beg tangan yang disimpan dalam loker tersebut, menutupnya kembali dan terus keluar.
Maklum Marina, kegiatan itu kerap kali berlaku di waktu malam dan ia seolah-olah sudah diajar untuk berbuat demikian.
Malah, wanita itu turut mengesyaki bahawa kegiatan tersebut didalangi oleh sebuah sindiket kerana kanak-kanak ini bergerak secara berkumpulan dan sering melepak di kedai tersebut.
Difahamkan, sekumpulan kanak-kanak itu bukan sahaja melepak tetapi meminta untuk diberikan makanan percuma oleh pelanggan dan turut menggunakan WIFi serta tandas sebelum mencuri sekiranya terdapat peluang.