Seperti yang kita tahu, orang kurang upaya (OKU) adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera. Bagi kecacatan kudung tangan atau kaki, ia termasuk dalam kategori kurang upaya fizikal.
Individu yang tergolong dalam kategori kurang upaya fizikal ini adalah mereka yang mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu anggota di mana-mana bahagian anggota badan termasuklah keadaan anggota yang tidak sempurna serta keadaan ini akan menjejaskan keupayaannya.
Jenis kecacatan yang termasuk dalam kategori kurang upaya fizikal ini ialah kerdil, kudung tangan atau kaki atau keduanya, kudung ibu jari tangan, lumpuh, spina bifida, muscular dystrophy dan cerebral palsy. Bagi kecacatan yang tidak menjejaskan fungsi seperti kudung satu jari dan kurang sempurna cuping telinga tidak dikategorikan sebagai kurang upaya fizikal.
Meskipun kudung kedua-dua tangan, seorang peminat sukan permotoran dari Poland berjaya mengejar impiannya bergelar pemandu profesional dengan hanya menggunakan kaki.
Menurut laporan daripada Harian Metro, individu bernama Bartek Ostalowski tersebut sangat mengagumkan kerana dapat bersaing dengan pemandu yang berkebolehan dalam pertandingan lumba kereta.
Bartek Ostalowski telah kehilangan kedua tangannya dan kudung selepas terbabit dalam satu kemalangan motosikal pada tahun 2006 iaitu ketika dia berusia 20 tahun. Sejak itu, dia berdepan cabaran untuk belajar memandu kereta di litar lumba, tetapi pemuda tersebut dapat memberanikan diri untuk terus maju ke hadapan.
Kesungguhannya membuahkan hasil apabila dapat menguasai pemanduan kereta lumba menggunakan kaki dalam tempoh tiga tahun. Kini, Bartek Ostalowski adalah satu-satunya pemandu sukan profesional di dunia yang memandu menggunakan kaki.
Bagi mengatasi keterbatasan fizikalnya, dia mengubah suai kereta Nissan Skyline GT-R sesuai dengan keperluannya selain menambah enjin baharu, kotak gear bebas dan transmisi yang lebih kuat. Pemandu yang bercita-cita tinggi itu menggunakan kaki kanannya untuk mengawal pedal dan memandu dengan kaki kirinya.
“Selepas kemalangan, saya cuba mencari jalan keluar. Saya bertanya pada diri sendiri jika mahu berlumba lagi apa yang perlu saya lakukan?”
Menurut Bartek Ostalowski lagi, dia terdengar ada kisah seorang individu di Poland yang sama sepertinya iaitu tidak memiliki anggota badan yang sempurna namun boleh memandu kereta setiap hari tanpa masalah.
Selepas bertemu dengan individu tersebut, impian dan minatnya terhadadap sukan permotoran kembali ‘hidup’ serta ia mendorongnya membuat keputusan untuk kembali berlumba suatu hari nanti.
Selepas menempa nama di litar perlumbaan Poland, Bartek Ostalowski menyahut cabaran yang lebih besar.
Pada tahun 2019, Bartek Ortalowski menduduki tempat kesembilan daripada 50 pemandu dalam Kejuaraan Drift Poland, salah satu siri kejuaraan paling kompetitif di seluruh Eropah.
Setahun sebelumnya, dia memenangi siri kejohanan perlumbaan antarabangsa Czech mengalahkan puluhan pemandu profesional lain.
Bartek Ostalowski kini boleh diibaratkan sebagai seorang adiwira dan inspirasi bagi orang kurang upaya (OKU) di seluruh dunia.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara