Objek seperti pokok tumbang yang menghalang jalan raya sememangnya membahayakan pemandu kenderaan yang lalu di jalan tersebut dan boleh mengakibatkan kemalangan.
Sebagai pengguna jalan raya, kita mesti pernah lalui situasi tersebut dan pasti sedar betapa bahayanya jika terdapat objek yang menghalang lalu lintas dan mengganggu jalan.
Situasi seperti ini adalah di luar jangkaan kita dan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana jua jalan raya yang kita lalui.
Jika tiada pemandu dan pengguna jalan raya yang bertanggungjawab membantu mengalih objek tersebut, pastinya akan berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk.
Inisiatif seorang lelaki mengalih pokok tumbang di jalan raya dibantu beberapa pemandu bertanggungjawab yang lain
Baru-baru ini tular di laman sosial TikTok, satu perkongsian video memaparkan gelagat seorang lelaki yang berada di tengah jalan untuk mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya tersebut.
Lelaki di dalam video itu merupakan suami pemilik akaun TikTok tersebut. Dalam video tersebut, pada awalnya hanya lelaki itu sahaja yang memberhentikan kereta di bahu jalan dan keluar untuk mengalihkan pokok yang tumbang itu.
Lelaki itu juga telah bertindak untuk menjaga lalu lintas ketika hendak mengalihkan pokok tumbang tersebut dan memberi isyarat kepada pemandu lain yang lalu di jalan tersebut supaya berhati-hati.
Namun, tidak lama kemudian muncul beberapa orang awam yang memberhentikan kereta di bahu jalan dan turut membantunya malah ada yang sanggup menggunakan keretanya sendiri untuk menarik pokok tersebut ke tepi.
Ia sekaligus memudahkan kerja mereka untuk mengalihkan pokok tersebut. Nasib baik kereta tersebut merupakan kereta pacuan empat roda, mudah sikit lah untuk menarik pokok yang tumbang itu.
“Alhamdulillah syukur, masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin”
Di ruangan komen perkongsian tersebut, rata-rata warganet meluahkan rasa bangga terhadap lelaki itu serta beberapa lagi orang awam yang membantunya kerana menunjukkan sikap pengguna jalan raya yang prihatin.
Ramai juga yang memberi pujian atas sikap prihatin mereka tersebut dan tidak kurang juga yang berasa terharu dengan tindakan mereka.
Jika anda mengalami situasi yang sama, contohilah sikap prihatin lelaki serta orang yang membantu mengalihkan pokok tersebut. Kita tidak tahu, hari ini mungkin kita memudahkan urusan orang lain dan pada masa akan datang, orang itu yang akan bantu kita pula.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara