Siapa sangka nenek yang sudah nyanyuk pun tidak terlepas dipukul oleh cucu sendiri oleh kerana kesalahan yang ringan.
Itulah yang berlaku di Muara Jawa, daerah Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur, Indonesia apabila seorang warga emas yang dikatakan sudah nyanyuk menggunakan kain baju cucu untuk mengelap air kencingnya.
Menurut laporan Utusan Malaysia, warga emas yang dikenali sebagai Misah, 66, ditumbuk dan dipukul menggunakan gayung mandi oleh suspek yang berusia 18 tahun.
Jurucakap polis, Arwin Amrih Wientama berkata suspek kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes itu dilaporkan oleh seorang daripada anak mangsa.
Arwin juga berkata, mangsa mengalami lebam teruk pada mata kiri dan kanan akibat di tumbuk suspek.
Tambahnya, mangsa juga dimaklumkan sudah dua kali dipukul suspek dan kes pertama berlaku pada 12 Mei lalu dan insiden berikutnya pada 18 Mei.
Daripada soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku menumbuk mata dan memukul badan neneknya dengan menggunakan gayung sebanyak tiga kali sehingga wanita itu tidak larat untuk bangun.
Suspek juga dikatakan tidak dapat menahan marah apabila mengetahui bajunya digunakan untuk mengelap air kencing.
Selain itu, suspek diberitahu pada awalnya tidak mengaku tindakannya sehingga kes tersebut dilaporkan oleh bapa saudaranya kepada pihak polis.