Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui hatinya berasa sedikit tersentuh apabila lamarannya untuk bekerjasama atau berduet dengan beberapa rakan artis telah ditolak dengan alasan tertentu.
Noraniza yang lebih mesra disapa sebagai Kak Ani berkata dia pernah meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengan beberapa artis ternama untuk menghasilkan single duet namun telah ditolak.
Ada beberapa nama artis yang pernah saya ajukan cadangan untuk bekerjasama, tetapi ditolak. Tapi menolak dengan cara baik. Saya cuma bersangka baik walaupun sedikit tersentuh. Tidak mengapa sebab mungkin mereka punya perancangan sendiri. Saya pun sedar diri siapalah saya.
Tambahnya lagi, isu penolakan (untuk bekerjasama) bukanlah suatu isu yang perlu diperbesarkan kerana ianya lumrah dalam dunia seni nyanyian.
Dalam perkembangan lain, Noraniza Idiris memaklumkan bahawa dia kini dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang menghimpunkan artis-artis Irama Malaysia di bawah satu bumbung.
Jelas Kak Ani, pertubuhan itu kini masih dalam proses pendaftaran dan sedang menunggu kelulusan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran.
“Saya kini sedang menghimpunkan artis-artis Irama Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah single berkonsepkan Irama Malaysia untuk bergerak di bawah satu pertubuhan. Sudah sampai masanya artis-artis Irama Malaysia ini di satukan dalam satu bumbung pertubuhan dan berkongsi kesungguhan untuk bangkitkan Irama Malaysia dengan sepenuh hati.” ujar Kak Ani yang ditemui media dalam sebuah majlis di PNB Perdana Hotel & Suite, KLCC, semalam.
Jangan lupa ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.