Boleh hidup dengan ulat sampah! Begitulah gambaran seorang tuan rumah yang terpaksa berhadapan dengan penyewa dari ‘neraka’ gara-gara rumah yang diduduki tidak tumpah seperti sebuah tapak pelupusan sampah.
Pemilik rumah yang dikenali sebagai Kamarina itu turut memuat naik video keadaan kediaman yang disewa kepada pasangan suami isteri itu di TikTok sehingga membuatkan mereka yang melihatnya berasa loya dan mual.
Kata Kamarina, dia menyewakan rumahnya di flat bertempat di Pasir Gudang, Johor sejak pertengahan tahun lalu dengan kadar sewaan RM500 sebulan.
Ujarnya, pasangan suami isteri itu sering memberi alasan untuk membayar sewa di awal waktu sehingga membuatkan Kamarina tergerak hati untuk melakukan ‘spot check’ kediamannya itu.
Saya tergerak hati untuk datang pada Januari lalu. Saya masuk guna spare key dan sebaik melangkah masuk, saya hanya mampu mengucap sebab keadaan rumah sangat teruk.
Saya hanya mampu berdiri, nak jalan pun susah. Memang tak boleh duduk langsung sebab banyak sangat sampah. Tilam dicucuh dengan rokok.
Cerita Kamarina, ada makanan yang sudah berulat ditinggalkan tanpa dibuang, rumah berbau sangat busuk dan serangga perosak seperti lipas berkeliaran di dalam rumah.
Dia juga tidak dapat membayangkan bagaimana pasangan suami isteri yang khabarnya bekerja sebagai kontraktor itu boleh hidup dalam keadaan rumah yang sedemikian rupa.
Kamarian kemudiannya mengambil keputusan untuk meminta pasangan tersebut keluar dari rumah tersebut secara baik.
Mereka bersetuju untuk keluar dari rumah dan beberapa hari kemudian rumah ditinggalkan dalam keadaan yang telah dikemaskan, cuma kotor-kotor sedikit tidak seteruk hari itu.
Wanita itu yang ditemui mStar Online mengakui berasa hairan dan terkejut kerana tidak menyangka pasangan suami isteri yang kelihatan cantik dan segak pada luaran boleh bersikap pengotor seperti itu.