Artis dan kontroversi bagaikan isi dengan kuku. Memang tidak boleh dipisahkan. Bercakap di atas kapasiti seorang artis yang sering dihantui kontroversi sebelum ini, Nabila Huda berpendapat kontroversi hanya akan memberikan impak negatif dan langsung tidak membawa kebaikan kepada mana-mana artis. Zaman sekarang ini makin senang timbul kontroversi apabila terlalu banyak laman sosial digunakan untuk berkongsi aktiviti harian. Terbaru Nabila sendiri dihimpit kontroversi apabila gambarnya bersama 2 orang selebriti lain telah menimbulkan perbalahan di kalangan pengikutnya.
Namun kontroversi yang tidak melampau sememangnya diperlukan oleh artis, lebih-lebih lagi yang sedang mencipta nama. Cuma bagi pendapat Abang Nara, kalau boleh janganlah kita mencipta kontroversi sendiri dengan memuatnaik gambar yang mampu mencetuskan salah faham kepada para peminat. Itulah yang sedang dilakukan oleh Nabila apabila dirinya kini mengawal apa yang dimuatnaik ke laman sosial. Kata Nabila:-
Bukan bermakna sebelum ini saya sengaja berkongsi sesuatu di laman sosial untuk menjadi kontroversi. Selalunya berlaku sebaliknya sebab niat kita lain tetapi dianggap lain sehingga mewujudkan kontroversi pula.
Tetapi saya percaya, mengawal apa yang dikongsi mampu mengubah pandangan orang terhadap kita. Contohnya, kini saya hanya mahu dikenali melalui lakonan saya sahaja. Jadi, apa yang akan dilihat selepas ini hanya ke arah itu.
Memang sudah niat saya untuk memastikan tahun ini saya bebas daripada sebarang gosip. Sebab itu saya agak berhati-hati untuk berkongsi kini.
Dahulu mungkin saya tidak berapa peduli perasaan orang yang menyayangi saya dan hanya fikir tentang diri sendiri, tetapi semua itu kini sudah berubah. Tentunya orang yang paling saya mahu jaga hatinya adalah ayah saya.
Saya tidak perlu kontroversi. Cukup sekiranya saya hanya dihargai melalui bakat sahaja. Jika benar ada yang mahu kontroversi silakan, tetapi saya memang tidak perlu.
Bagaimanapun sepatutnya kita perlu mengubah cara pemikiran peminat yang selalu mempunyai persepsi buruk mengenai artis. Sebab itu kontroversi sebenarnya tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada mana-mana artis.
Secara jujur, berbanding tahun-tahun sebelum ini, tahun 2015 adalah tahun yang baik dan agak bebas kontroversi buat Nabila Huda. Teruskan mengawal perkongsian anda di laman sosial. Abang Nara tengok sekarang ini Nabila pun lebih banyak berkongsi gambar aktiviti anaknya. Itu sudah cukup bagus. Semoga berjaya diucapkan buat Nabila. Sumber Utusan.