Kisah kartunis legenda, Ujang kembali menjadi perhatian selepas tular dakwaan mengenai seorang anak kepada individu dikenali sebagai Dato Moy menghubungi beliau untuk memohon maaf bagi pihak bapanya.
Sebelum ini, Ujang pernah berdepan episod sukar dalam hidupnya apabila hak cipta harta intelek berkaitan beberapa watak kartun ciptaannya didakwa telah didaftarkan oleh individu yang pernah rapat dengannya.

Akibat perkara itu, Ujang dikatakan tidak lagi dibenarkan melukis watak kartun yang diciptanya sendiri. Malah, beliau juga pernah berdepan saman bernilai RM1 juta selepas menghasilkan kad raya dan cenderahati menggunakan watak berkenaan.
Keadaan itu memberi kesan besar kepada kehidupannya sehingga beliau diisytiharkan muflis. Bagi meneruskan kehidupan, Ujang kemudian mengusahakan perniagaan rumah bot sambil berusaha membersihkan namanya daripada status muflis selama bertahun-tahun.
Terbaru, kisah tersebut kembali tular apabila anak Dato Moy didakwa menghubungi Ujang untuk menyampaikan permohonan maaf bagi pihak bapanya yang dikatakan kini lumpuh, tidak mampu bercakap dan hanya mampu menangis.
Difahamkan, Ujang menerima permohonan maaf itu dengan hati terbuka dan memaklumkan bahawa beliau sudah pun memaafkan perkara tersebut.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan kisah berkenaan sebagai pengajaran tentang pentingnya memohon maaf selagi masih berkesempatan.
Ramai juga yang melihat tindakan Ujang memaafkan sebagai sesuatu yang besar, lebih-lebih lagi selepas melalui episod hidup yang cukup mencabar akibat konflik tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
