Kes Zayn Rayyan: Mahkamah Tinggi Kekalkan Hukuman Penjara Lima Tahun Terhadap Ismanira

Berita

Kes Zayn Rayyan: Mahkamah Tinggi Kekalkan Hukuman Penjara Lima Tahun Terhadap Ismanira

Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, gagal dalam rayuan untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan mengabaikan anaknya pada 2023.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Hisham Ismail selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tidak melakukan sebarang kekhilafan fakta atau undang-undang ketika mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Ismanira, 31.

Advertisement
ismaniraHarian Metro  

“Mahkamah ini selepas menimbang rekod rayuan, alasan penghakiman (Hakim Mahkamah Sesyen) dan hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah berpuas hati, Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusannya,” katanya ketika membacakan penghakiman ringkas.

Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman selepas berpendapat hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Ismanira adalah memadai.

Menurut Noor Hisham, Mahkamah Tinggi hanya akan campur tangan sekiranya hukuman yang dijatuhkan tidak jelas, tidak memadai atau jelas berlebihan serta terdapat kekhilafan prinsip.

Pada Januari lalu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Sebelum ini, pada 31 Oktober tahun lalu, Ismanira dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Keluarga serah pada polis jejak pembunuh Zayn Rayyan

Selain itu, beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun, cagaran RM3,000 serta diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam selepas tamat hukuman penjara.

Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad, Lavanesh Mahadevan dan Haijan Omar.

Pasukan pendakwaan pula terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Aqharie Durranie Aziz. – HARIAN METRO

Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

HASMAH
2026-09-28 10:23:44

Tun Dr Hasmah Mohd Ali Meninggal Dunia, Berita Disahkan Anak Mokhzani Mahathir

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.