Sedia maklum, sejak beberapa minggu yang lalu hingga ke hari ini isu berkenaan penangguhan perjalanan jemaah umrah untuk sementara waktu menjadi topik utama warganet berbincang di media sosial.
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbuat sedemikian adalah atas sebab untuk menjaga nyawa rakyat.
Menurut beliau, maklumat terperinci berkaitan keputusan KKM akan didapatkan olehnya setelah dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Mesyuarat Khas Kabinet, esok hari.
Tambahannya lagi, KKM turut mengusulkan perbincangan isu berkenaan COVID-19 terutama tentang risiko penularan varian Omicon dalam kalangan jemaah umrah dalam Mesyuarat Khas Kabinet itu.
Saya hendak maklumkan keputusan dibuat KKM lebih kepada menjaga nyawa.
Keputusan penangguhan ini mendapat pelbagai reaksi terutamanya dari kalangan bakal jemaah yang sudah menempah tiket penerbangan ke Tanah Suci dan juga operator pelancongan yang menguruskan ibadah umrah.
Sekadar info, keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu akan mula berkuatkuasa pada 8 Januari berikutan penularan jangkitan varian Omicron.