Hobi mengumpul permainan kereta Hot Wheels sememangnya sudah lama wujud dan masih kekal popular di Malaysia.
Umum mengetahui kalau model ‘rare’ permainan kereta itu memang dijual dengan harga yang agak mahal daripada model biasa yang dijual di pasaran.
Baru-baru ini di Group Facebook Hot Wheels Trade & Sell Malaysia, seorang wanita tampil mempersoalkan mengapa model Super Treasure Hunt (STH) Porsche 356 Outlaw Gulf sangat mahal dan dijual dengan kadar 200% lebih tinggi daripada harga model Hot Wheels standard iaitu RM9.90.
Dalam hantarannya itu, wanita itu menjelaskan bahawa dia ada membuat carian mengenai model ‘rare’ itu dan terkejut dengan harganya yang cukup mahal.
Dia yang berniat untuk menghadiahkan model kereta mainan tersebut pada suaminya turut bertanyakan sama ada masih ada atau tidak model yang sama yang dijual dengan harga yang murah.
Prihatin dengan pertanyaan wanita itu, ramai ahli ‘group’ itu tampil memberi penjelasan mengapa model STH itu mahal dan ‘rare’.
Kata netizen, model tersebut mahal kerana berbeza dari pembuatan tayar, warna dan lain-lain lagi.
Meskipun harganya sedikit mahal, wanita itu khabarnya tetap akan membeli hadiah ‘rare’ berkenaan buat suami tercinta kerana menurutnya janji mesti ditepati!