Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) meluahkan kata-kata agak kasar terhadap pelajarnya yang membuatkan netizen tidak senang duduk.
Susulan video yang sudah tersebar luas itu, pihak UiTM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah kontrak terbabit kerana telah memperlekehkan pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba semasa sesi kelas atas talian.
Melalui laporan Harian Metro, Naib Canselor UiTM iaitu Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata pihak mereka sedang menelitikan kes terbabit serta memikirkan tindakan selanjutnya yang hendak diberikan kepada pensyarah itu.
Saya difahamkan insiden berkenaan berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pensyarah terbabit sebenarnya seseorang yang baik hati, namun mungkin berlaku sedikit perselisihan faham ketika itu.
Sekadar info, melalui video tular di TikTok itu, jelas terdengar pensyarah itu menyuruh kakak kepada pelajar tersebut menjual gelang emas untuk membeli komputer riba.