Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan atas 16 pertuduhan menipu rakan sekerjanya untuk menyertai pelaburan emas yang tidak wujud.
Menurut laporan, pembantu perawatan kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berkenaan telah menyebabkan rakannya itu mengalami kerugian sebanyak RM61,050.
Nurfatin Natasha Abdullah, 28 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Nurfatin didakwa menipu Aida Masirah Mohd. Salleh, 51 tahun dengan cara memperdayakannya menerusi tawaran pelaburan emas tidak wujud.
Tertuduh juga didakwa mendorong mangsa membuat transaksi pemindahan wang bernilai antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank miliknya.
Difahamkan, kesalahan tersebut dilakukan Nurfatin di HUSM, Kubang Kerian antara 25 November 2021 sehingga 21 Disember 2021.
Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.