Beberapa hari yang lalu, nama pelawak Ali Puteh menjadi hangat kerana mendakwa kakak iparnya, Hidayah telah membuat perbuatan syirik dengan menabur garam kasar, kulit limau dan bangkai haiwan sewaktu mengunjungi rumah Allahyarham Abam Bocey.
Dakwaan tersebut telah mendatangkan rasa kurang senang daripada kalangan netizen kerana mereka merasakan pelawak tersebut membuat tuduhan yang amat berat dan tidak berasas.
Terbaharu, seorang individu di TikTok telah merakam live Ali Puteh mengamuk kerana difahamkan netizen telah mengejek dirinya dengan memetik nama ibu bapa.
Di dalam video yang dimuat naik itu, Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata perbuatan tersebut sememangnya sangat biadap.
Malah, pelawak itu berkata seandainya individu berkenaan berada di depannya, sudah lama dia menyepak kerana melampaui batas.
Dalam pada itu, Ali menafikan dakwaan dia ‘koyak’ dengan kecaman netizen, sebaliknya berasa marah kerana provokasi yang melampau.
Biarpun sudah memberitahu sebab dirinya marah, netizen tetap merasakan selebriti terbabit merupakan seorang yang panas baran kerana melenting dengan komen netizen.