BUDI95 (Subsidi RON95 Bersasar) merupakan inisiatif kerajaan yang dikhaskan untuk pengguna petrol RON95 dalam kalangan warganegara Malaysia, membolehkan mereka menikmati harga subsidi RM1.99 seliter di stesen minyak.
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang wanita dipercayai berasal dari Indonesia meluahkan kesedihan apabila terpaksa membayar harga minyak lebih tinggi walaupun merupakan isteri kepada warganegara Malaysia.
Menerusi video di TikTok, wanita tersebut dilihat menangis sambil merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan situasinya.
“Salam Kerajaan Malaysia. Tolonglah kasihani kami. Kami isteri-isteri kepada warganegara Malaysia. Kami legal. Kami ada visa spouse tapi tak diakui waktu isi minyak, tetap saja dicaj RM4.20.”
“Kenapa bezanya begitu tinggi. Kalau ada kad pengenalan, minyak RM1.99. Tolonglah jangan macam ini. Kami isteri bekerja. Suami sudah pencen atau ada kawan saya suami tak dapat bekerja kerana kemalangan.”
Semakan mendapati video asal telah dipadamkan, namun ia terus dikongsi semula oleh pengguna lain sehingga menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Susulan itu, rata-rata netizen mempersoalkan sama ada wanita berkenaan memahami bahawa subsidi RON95 adalah hak eksklusif warganegara Malaysia dan tidak diperuntukkan kepada warga asing, walaupun memiliki visa pasangan.
“Ye la hang dapat spouse visa, bukan dapat warganegara terus. Subsidi di malaysia sah sah la untuk rakyat malaysia. Dah namanya pun subsidi malaysia.”
Dalam masa sama, sebahagian netizen tempatan turut berkongsi bahawa mereka juga perlu membayar harga pasaran selepas kehabisan kuota subsidi, sekali gus menolak dakwaan wujud layanan berbeza.
Menariknya, ada juga netizen dari Indonesia yang tampil menegur tindakan wanita tersebut dan menyifatkan permintaannya sebagai tidak wajar.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
