Akaun media sosial yang menggunakan nama agensi perisikan Israel, Mossad Commentary mencetuskan kemarahan ramai selepas memuat naik gambar seorang aktivis kemanusiaan dari Malaysia baru-baru ini.
Aktivis yang menjadi sasaran hantaran tersebut ialah Haroqs, salah seorang wakil Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan antarabangsa, Global Sumud Flotilla.

Menerusi tangkapan skrin yang tular di media sosial, akaun berkenaan dilihat memuat naik foto Haroqs yang memakai jaket keselamatan oren bersama kapsyen berbaur sindiran.
“Ini adalah salah seorang aktivis “Global Sumud Flotilla”. Jika anda mengenali ibunya, tolong beritahu dia yang anaknya okay. Saya pasti si ibu sedang risaukan dia,” tulis ciapan itu.
Hantaran itu kemudian mengundang rasa kurang senang netizen tempatan yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai provokasi melampau terhadap aktivis kemanusiaan.
Malah, naratif yang digunakan turut dianggap sebagai satu bentuk tekanan psikologi yang sengaja mahu mencemaskan ahli keluarga aktivis berkenaan, selain memperlekehkan usaha misi bantuan ke Gaza.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia meluahkan kemarahan terhadap tindakan akaun tersebut.
Ada juga yang menyifatkan taktik propaganda sedemikian sebagai pengecut kerana menyasarkan individu yang terlibat dalam misi kemanusiaan.
Bagaimanapun, provokasi digital itu dilihat tidak melemahkan sokongan rakyat Malaysia terhadap Haroqs dan delegasi Global Sumud Flotilla.
Sebaliknya, ramai terus memberikan sokongan moral kepada para aktivis yang terlibat dalam misi tersebut.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
