Gara-gara menulis perkataan biadab di atas bungkusan parcel, seorang wanita dikecam hebat oleh netizen setelah perkara itu menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
Dalam hantaran yang tular itu, wanita berkenaan selaku tuan rumah telah menulis nota berbunyi “kalau bodoh tengok maps, jangan jadi rider” kepada penghantar barangan.
Berikutan itu, netizen di media sosial tampil mengecam tindakan wanita terbabit malah ada yang mencari kawasan rumah sebenar di dalam aplikasi peta dalam talian dan menyebarkan di media sosial.
Malah, ada yang mengubah lokasi rumah wanita itu di Google Maps dengan nama yang bukan-bukan.
Difahamkan wanita itu kemudiannya tampil memohon maaf di atas keterlanjuran bahasa seperti yang diuar-uarkan oleh seorang individu ini di Facebook.
Maklum individu bernama Shahruddin Helmy itu, wanita berkenaan merupakan kenalannya di Facebook dan dia telah meminta pertolongan Helmy untuk menghebahkan permohonan maafnya di media sosial.
Kata wanita itu, dia betul-betul menyesal dan mengakui kesilapannya terhadap abang-abang ‘rider’ kerana menulis perkataan kurang sopan.
Dia menjelaskan bahawa dirinya berada dalam keadaan emosi gara-gara pernah tidak menerima barang akibat kecuaian ‘rider’ sebelum ini.