Kajian oleh The Global Economy merumuskan bahawa kualiti jalan raya di Malaysia merupakan antara yang terbaik di Asia.
Kajian yang bersumberkan data dari World Economic Forum (WEF) menunjukkan negara kita memperoleh skor agrerat 5.3, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-21 daripada 144 negara dan ke-9 terbaik di Asia.
Keputusan kajian tersebut mendapati, secara global, negara dengan kualiti jalan raya terbaik adalah negara jiran, Singapura dengan skor 6.5 dan diikuti oleh Belanda dan Switzerland masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, tujuh lagi negara yang berada di dalam senarai 10 teratas adalah Hong Kong, Jepun, Austria, Portugal, UAE, Korea Selatan, dan Oman.
Malaysia kedua terbaik di Asia Tenggara
Di Asia Tenggara, hanya Singapura yang mengatasi Malaysia, menjadikan negara kita berada di kedudukan kedua terbaik dalam rantau ini.
Dalam pada itu, Myanmar dan Timor-Leste tidak termasuk dalam kajian ini akibat kekurangan data yang diperlukan untuk mendapatkan skor terbabit.
Menurut The Global Economy, penunjuk kualiti jalan raya adalah salah satu komponen dalam Indeks Daya Saing Global tahunan WEF.
Skor tersebut adalah hasil daripada jawapan individu (responden) yang diajukan satu soalan iaitu diminta menilai jalan raya di negara mereka pada skala dari 1 (kurang maju) hingga 7 (luas dan efisien mengikut piawaian antarabangsa).
Bagaimanapun, keputusan ini adalah berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2019 dan setakat ini masih tiada kajian terbaru dibuat dalam tempoh lima tahun lepas.