Seorang penjual di Instagram yang menjual produk tiruan jenama mewah Louis Vuitton dengan mendakwa ia sebagai barangan authentic vintage dan upcycled akhirnya menerima padah selepas kalah dalam rayuan di mahkamah tertinggi Singapura.
Menerusi laporan SAYS, Mahkamah Rayuan Singapura pada 6 Mei lalu mengekalkan kemenangan Louis Vuitton Malletier, selain menaikkan jumlah ganti rugi daripada SGD200,000 kepada SGD510,000 atau kira-kira RM1.57 juta.

Mahkamah menganggap tindakan penjual berkenaan terlalu melampau dan jelas tidak menghormati undang-undang.
Tertuduh, Ng Hoe Seng, didakwa mengendalikan akaun Instagram @emcase_sg sebelum berpindah ke @emcrafts_sg untuk menjual pelbagai produk menggunakan jenama LV seperti sarung telefon, dompet kad, tali jam, passport cover, pouch dan aksesori lain.
Lebih berani, dia mendakwa produk tersebut dihasilkan menggunakan ‘bahan LV vintaj asli terpakai’ serta menjanjikan ‘jaminan ketulenan’ kepada pelanggan.
Namun, siasatan Louis Vuitton menerusi pembelian perangkap pada tahun 2022 dan 2023 membongkar penipuan itu apabila ujian makmal mendapati sebahagian bahan yang digunakan sebenarnya bukan produk asli Louis Vuitton.
Mahkamah turut mendedahkan bahawa Ng masih terus menjual produk tiruan walaupun sudah dikenakan injunksi mahkamah. Dia juga didakwa cuba mengelak tindakan undang-undang dengan berpindah ke akaun Instagram lain dan menukar akaun tersebut kepada mod private.
Panel hakim menyifatkan lelaki itu sebagai ‘pelanggar tegar’ yang langsung tidak menghormati arahan mahkamah.
Secara keseluruhan, sebanyak 121 pelanggaran cap dagangan dikenal pasti melibatkan sembilan kategori produk termasuk phone case, key case, pouch, tali jam, dompet kad, passport cover, phone bag, spectacle case dan cigarette case.

Louis Vuitton sebelum ini cuba menuntut ganti rugi berdasarkan setiap logo dan cap dagangan yang disalah guna, yang berpotensi menjadikan jumlah pampasan mencecah jutaan dolar Singapura.
Namun, mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi perlu dikira mengikut kategori produk tiruan yang dijual, bukannya jumlah logo pada setiap produk.
Walaupun begitu, mahkamah tetap menyifatkan pampasan asal SGD200,000 sebagai terlalu rendah memandangkan penjual itu terus aktif menjual barangan tiruan, cuba mengelak tindakan undang-undang dan menggunakan media sosial untuk meluaskan pasaran.
Hakim turut menegaskan Instagram membantu penjual tersebut mencapai lebih ramai pelanggan dengan kos rendah, selain menggunakan kumpulan influencer dikenali sebagai EmCollabFam untuk mempromosikan produk tiruan itu secara dalam talian.
Antara jumlah ganti rugi yang diputuskan mahkamah ialah SGD70,000 bagi phone case, key case serta pouch/purse, SGD60,000 bagi watch strap dan card wallet/card holder, SGD50,000 bagi passport cover, phone bag dan spectacle case, serta SGD30,000 bagi cigarette case.
Keseluruhannya, Ng Hoe Seng diperintah membayar SGD510,000 kepada Louis Vuitton selain tambahan SGD40,000 kos guaman.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
