Walaupun pengacara Sukan Tak Sentral, Ammar Titan sudah memohon maaf atas isu beliau mempersenda nama bapa Watson Nyambek , Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi tetap merasakan ia adalah satu penghinaan yang berat dan tidak profesional terhadap pelari pecut itu yang sudah banyak berjasa kepada negara di dalam bidang sukan.
Menurut Zed, pihak beliau akan menyiasat perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ammar sekiranya beliau merupakan ahli Seniman.
Saya telah mengarahkan pengerusi biro dari persatuan Seniman Malaysia supaya menyiasat pekara ini. Sekirannya anda (Ammar) ahli Seniman hukuman dan tindakan disiplin akan menyusuli, segalanya akan bergantung kepada siasatan nanti.
Saya percaya pengacara tersebut juga akan terasa apabila nama bapanya dipermainkan atau dihina apatah lagi bila orang tuanya itu sudah tiada, apakah perasaan anda ketika itu? Anda juga memperlekehkan nama bapa perlumba negara dengan bunyikan suara haiwan dan dari sudut persepsi masyarakat anda menyamakan bapa pelumba tersebut sebagai seekor haiwan.
Adakah itu cara stesen TV mengajar anda untuk berbuat demikian apabila di kaca TV atau di radio? Adakah ini di panggil professional menggunakan lawak bagi sebuah penghinaan dan tidak memikirkan sensitiviti rakyat Malaysia?.
Zed juga berpendapat permohonan maaf pihak TV3 dan Ammar tidak cukup untuk membetulkan imej Watson Nyambek yang sudah tercalar apatah lagi ia sudah menjadi viral di media sosial. Apa yang berlaku adalah satu perkara yang memalukan kerana bukan mudah unutk Watson Nyambek membina namanya.