Setelah mendiamkan diri hampir seminggu setelah dikecam teruk oleh netizen gara-gara melakukan gimik kahwin semata-mata untuk mempromosikan produk kesihatan, Tauke Jambu akhirnya tampil membuat permohonan maaf.
Ujar Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria,45, tindakannya itu hanya ingin mengajar netizen di luar sana untuk lebih bersabar dan tidak mudah membuat sebarang spekulasi secara melulu.
Tambahnya lagi, keadaan sekarang membuatkan seseorang itu kreatif dan mempunyai cara tersendiri bagi menjana ekonomi masing-masing.
Sehubungan itu, Tauke berharap netizen di luar sana lebih teliti dalam memberi sebarang komen dan spekulasi.
Ini mengajar kita untuk bersabar dan menunggu segala keputusan baru lah kita tentukan dan komen jangan nak hentam je.
Meskipun menerima kecaman hebat daripada segelintir pengguna media sosial, Tauke berkata dia sama sekali tidak berkecil hati dengan pandangan negatif yang diberikan kepadanya.
Menyentuh soal menggunakan isu perkahwinan yang disifatkan sebagai keterlaluan dan sensitif oleh sesetengah pihak, Tauke berkata tiada apa yang perlu diperbesarkan dan menganggap perkara itu hanya ‘main kahwin-kahwin’.
Pasal isu kahwin itu pula samalah macam zaman kecil dulu mesti ramai pernah main kahwin-kahwin. Jadi macam saya ni baru nak hidup semula lepas buat banyak salah, jadi saya ibaratkan macam tu lah.
Terdahulu, tular video di TikTok di mana Tauke yang lengkap berbaju Melayu berwarna putih seperti sedang dalam sebuah majlis pernikahan bersama seorang wanita yang digelar sebagai Shu.
Ia sekaligus mengundang kecaman netizen dan beberapa hari selepas itu, Tauke kemudian memuat naik video penuh yang menunjukkan dia dan wanita berkenaan hanya melakonkan aksi pernikahan bagi tujuan mempromosikan produk kesihatan.