Pengarah dan penerbit drama terkenal, Michael Ang khabarnya sudah mengeluarkan lagu single terbaharu berjudul Cinta dan Propa hasil ciptaan Killa Driz.
Jika sebelum ini Michael ada menguar-uarkan mengenai pelancaran muzik video lagu terbaharunya itu, ia ternyata telah menuai kritikan daripada kalangan peminat dan juga rakan artis.
Antara yang tampil memberi komen dan kritikan adalah pelakon Datuk Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad dan juga Datuk Seri Vida.
“Yang ni apa pula masalahnya? Kecil besar kecil besar saja aku tengok. Nanti mengata lebih-lebih, tidak dipanggil berlakon pula tapi memang dia tak panggil pun.” komen Fizz.
Manakala Sharnaaz yang turut memuat naik sedutan muzik video nyanyian penerbit itu berkata dia berasa ‘naik darah’ dengan Michael Ang.
Jutawan kosmetik DS Vida nampaknya tidak ketinggalan memberi sedikit dua kata di mana dia mempersoalkan tindakan Michael menjadi seorang penyanyi.
“Jadi pengarah cukuplah dan duit sudah banyak. Berilah peluang kepada orang lain untuk cari makan Michael..” tulis pelantun lagu I Am Me itu.
Malah ada peminat dan juga pengikut media sosial Michael Ang menggelarkan pengarah drama Love Elsa itu sebagai Datuk Aliff Syukri 2.0.
Terdahulu, Michael sememangnya sudah diketahui lantang memberi pendapat dan sentiasa aktif mengulas pelbagai isu termasuklah persembahan penyanyi-penyanyi yang baru dan sedia ada sehingga sering saja mencetuskan perdebatan dalam media sosial.