Teringin turun padang bertemu mangsa banjir seperti dilakukan ibu mertua dan birasnya, pelakon Izara Aishah hanya mampu beri sumbangan dari jauh berikutan ada anak kecil yang perlu diasuh.
Kesungguhan ahli keluarga seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tya Arifin turun padang membantu mangsa banjir mendorong Izara mengambil inisiatif dengan cara sendiri.
Saya mahu sangat turun padang namun tidak mampu kerana anak saya, Irisa Alaia belum menjangkau dua tahun. Saya tidak boleh bawa dia ke lokasi.
Menurut Izara, dia membantu dengan memberi sumbangan barangan yang mangsa banjir perlukan seperti tuala wanita, hos air atau water jet dan bermacam-macam lagi barangan keperluan harian.
Izara turut memberitahu yang dia tidak boleh tengok apa yang dialami mangsa banjir kerana kasihan, jadi dia membantu apa yang termampu dibantu olehnya.
Dalam pada itu, Izara sempat menasihatkan orang ramai yang mahu menderma agar memberi barangan dan keperluan yang boleh digunakan oleh mangsa banjir.
Mengulas tentang karier seninya, Izara memberitahu yang dia mahu fokus kepada layar perak berbanding drama televisyen (TV) selepas berehat selama dua tahun.