Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa pengguna lebuh raya perlu diberi kebebasan untuk memilih cara pembayaran di plaza tol sama ada mahu menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau sebaliknya.
Tambahnya lagi, kabinet memutuskan bahawa sebarang keputusan membabitkan bayaran yang perlu dibayar rakyat, pihak tertentu perlu merujuk kabinet terlebih dahulu.
Dalam mesyuarat kabinet yang diadakan semalam, Ismail Sabri telah membincangkan mengenai isu itu dan sepakat dengan ketetapan supaya rakyat mesti diberikan pilihan untuk memilih, seperti laporan Harian Metro.
Cuma kita kata cadangan bagus tetapi dari segi pengguna mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID atau nak guna Touch ‘n Go atau Smartag.
Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong RFID, selebihnya lorong Touch ‘n Go dan SmartTag.
Kata Ismail, tidak patut ada sebarang tekanan diberikan kepada pengguna jalan raya dan mereka perlulah bebas membuat pilihan.
Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa perlaksanaan RFID ketika ini merupakan projek perintis dan pilihan untuk menggunakannya secara terus adalah terletak di tangan rakyat.
“Kita minta Menteri KKR (Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk memanggil pemegang konsesi ini untuk berbincang. Kalau ada membabitkan bayaran kepada rakyat, rujuk kepada kabinet dulu.” ujarnya.