Baru-baru ini tular beberapa gambar di media sosial yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas di dalam kawasan tanah perkuburan Islam.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang lelaki yang dikenali sebagai Syafiq Sidek iaitu anak kepada pemilik kereta tersebut telah tampil memberi penjelasan.
Menurutnya, kejadian yang berlaku adalah disebabkan ibunya mengalami Hipoglisemia (kurang gula dalam darah) kerana menghidap kencing manis.
Saya memohon seribu kemaafan kepada semua waris kubur yang telah rosak. Sebenarnya ibu saya alami ‘Hipo’ kerana menghidap kencing manis dan ibu saya sedang berpuasa hari ini.
Jelas Syafiq, dia bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kerosakan dan akan membaik pulih kubur seperti asal.
Ibu saya secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan tertekan pedal minyak ketika ingin pusingkan kereta (u-turn).
Dalam pada itu, Syafiq memaklumkan bahawa ibunya kini dalam keadaan trauma dan juga sedang bersedih di atas kehilangan suami tercinta akibat Covid-19 baru-baru ini.
Saya berharap agar tiada pihak yg salah sangka terhadap kejadian ini. Mohon jasa baik semua untuk menghentikan viral ini.
Tambahnya lagi, ibunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia kini sudah berada di balai polis untuk menyelesaikan kes ini.